TRAGEDI 179 penumpang maut dalam nahas pesawat Boieng 737-800 milik Jeju Air pada 29 Disember lalu meninggalkan impak terhadap rakyat Korea Selatan.
Nahas dipercayai akibat pelanggaran burung mengakibatkan roda tidak berfungsi ketika kapal terbang terbabit cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan selepas berlepas dari Bangkok, Thailand.
Kejadian hitam terbabit turut memberi kesan terhadap ekonomi negara itu selepas 68,000 tempahan penerbangan dibatalkan berikutan kebimbangan ramai.
Agensi pelancongan melaporkan peningkatan mendadak pembatalan pakej pelancongan selepas tragedi berkenaan.
Tragedi berdarah itu turut memberi kesan kepada emosi penggiat seni negara itu sehingga ada bertindak membatalkan aktiviti yang sudah diatur lebih awal.
Antaranya, penyanyi Lee Seung-chul yang menangguhkan konsert yang sepatutnya berlangsung hari ini demi menghormati tempoh berkabung.
Kumpulan BTS turut menangguhkan promosi kandungan media sosial sempena ulang tahun ke-29 anggotanya, V pada 30 Disember lalu.
Salam takziah kepada keluarga mangsa Jeju Air. Kami tidak akan menyiarkan kandungan berkaitan ulang tahun V,” kata agensi Bighit Music.
Sebagai tanda solidariti, V menangguhkan konsertnya ke tarikh baharu iaitu 22 Mac depan.
Penyanyi Jay Park pula nekad membatalkan konsert di Tokyo pada 31 Disember lalu.
Meskipun acara itu merupakan peluang bertemu peminat, Jay Park membuktikan dirinya mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Lain pula dengan anggota kumpulan Itzy yang dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon menggayakan baju serba hitam sebagai simbolik berkabung.
Warna hitam biasanya dipakai bagi menggambarkan rasa hormat dan tanda kehilangan apabila seseorang meninggal.
Kumpulan terbabit berlepas ke Manila, Filipina untuk memenuhi jadual persembahan di luar negara dilihat mesra menyantuni peminat meski sedih mengenangkan mangsa yang terkorban.
Manakala, kumpulan NewJeans pula dilihat memakai reben hitam pada pakaian mereka di acara Anugerah Rekod Jepun semasa mempersembahkan lagu Supernatural.
Malah, mereka turut memuat naik foto dalam media sosial dengan kapsyen ‘Dengan hati yang berkabung’ sebagai tanda penghormatan.