‘Benda lain tak pandai, hanya boleh berlakon’

KETIKA ini, namanya bagai pisang goreng panas. Masakan tidak, hampir majoriti pelakon dalam industri seni tempatan memasang angan untuk bergandingan dengannya dalam mana-mana naskhah.

Impian tersebut cukup untuk melabel lelaki dengan nama pentas Beto Kusyairy itu sebagai pelakon ‘most wanted’ kini.

Bukan sahaja menjadi rebutan pelakon baharu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia turut dilabel sebagai wajah ‘pelaris’ filem tempatan.

Mengakui tidak pernah meletakkan dirinya sebagai ‘pelaris’ apatah lagi menggariskan dalam hati dirinya aktor popular, sungguh, Beto hanya melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon dalam setiap naskhah di bahunya.

“Saya hanya lakukan watak yang ditugaskan sehabis baik sebab sudah ‘set’ dalam fikiran iaitu bekerja untuk karya dan naskhah.

“Ini adalah minat saya dan sangat suka dengan bidang lakonan. Benda lain saya tak pandai dan hanya ini (berlakon) sahaja yang saya boleh lakukan.

“Kalau tentang tekanan, setakat ini tiada kerana saya sudah berikan sehabis baik, jadi semua itu terpulang pada penerimaan penonton,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

BETO masih berasakan dirinya belum layak menjadi pengajar lakonan kepada pendatang baharu.

Mengulas pujian segelintir pihak bahawa setiap naskhah lakonannya adalah ‘wajib tonton’, pemilik nama penuh NurKusyairy Zakuan Osman, 44, itu menerimanya dengan besar hati.

“Sebenarnya saya tiada jawapan tetapi besar hati kalau ada yang beranggapan dan berasakan sebegitu.

“Saya hanya buat perkara saya suka dan cinta iaitu lakonan. Namun, semestinya mengharapkan penerimaan baik daripada penonton untuk setiap naskhah lakonan saya kelak,” jelasnya yang bakal muncul dengan filem Gayong tahun depan.

Dalam masa sama, Beto juga sudah mendidik diri agar tidak mengejar sebarang pengiktirafan dan populariti sejak bergelar pelakon.

“Saya hanya lakukan setiap tanggungjawab yang diberikan. Tidak pernah sekalipun sasarkan untuk popular, dikenali atau dapat anugerah.

“Saya memang sudah didik diri sejak dulu dan semua yang dilakukan sebab sangat minat dengan dunia lakonan.

“Memang tidak pernah nak letak sasaran untuk dapat anugerah terbaik atau popular, saya bukan macam itu,” ujarnya.

BETO bersama Nabila Huda dan Syafie Naswip, gandingan dalam filem Gayong yang dijadual tayangannya tahun ini.

Anugerah

Dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33 menerusi Imaginur pada Disember lalu, Beto tetap berasakan dirinya belum layak untuk mengadakan kelas lakonan untuk pelakon generasi baharu.

Kongsinya, dia sudah beberapa kali menolak tawaran daripada pelakon muda yang mahu menimba ilmu dengannya tentang lakonan kerana berasa belum cukup layak.

“Saya bukanlah mahir atau hebat sangat. Kalau saya ajar, rasa macam diri sendiri pun bukanlah bagus sangat, jadi bagaimana mahu mendidik orang lain?

“Saya cuma mampu kongsi pengalaman dan tips lakonan dengan mereka, hakikatnya saya tidak ada kredibiliti untuk mengajar.

“Ramai lagi pelakon hebat di luar sana yang lebih layak daripada saya seperti Fatimah Abu Bakar, Fauziah Nawi dan Datuk Rahim Razali,” ujarnya.

Selain kelas lakonan, dia turut menyarankan pelakon lain mencari peluang bekerjasama dengan penggiat seni yang bagus.

“Platform terbaik untuk belajar ialah bekerjasama dengan orang yang bagus dan itu yang saya lakukan sejak dulu.

“Mungkin rezeki saya dapat bekerja dengan orang bagus dan memang sangat membantu dalam kerjaya.

“Pementasan teater juga pentas terbaik untuk belajar dan mampu menjadikan seseorang pelakon yang bagus,” tuturnya.

Reversi

Berkongsi tentang filem terbaharunya, Reversi yang sudah ditayangkan sejak dua minggu lalu, Beto banyak menerima positif tentang jalan cerita naskhah arahan Adrian Teh tersebut.

LAKONAN Beto dalam filem Reversi mendapat pujian melambung banyak pihak.

Jelasnya, Reversi yang mengangkat isu kesihatan mental dan penerimaan individu apabila berdepan dengan fasa kehilangan berjaya membuatkan ramai penonton terkesan secara emosi.

“Ada satu komen saya terima, seorang penonton sedang dalam fasa kemurungan dan tidak boleh melupakan masa lalu setelah kehilangan seseorang.

“Setelah menonton Reversi, persepsinya berubah dan reda menerima keadaan. Perkara sebegitu cukup menggembirakan gembira,” katanya lagi.

Berkongsi watak Akid, Beto tidak menafikan karakter itu sangat berat kerana terpaksa mendalami emosi berdepan detik kehilangan insan tersayang.

“Saya cuba letakkan diri sebagai Akid apabila berdepan kehilangan dan pastinya melalui fasa kesedihan, penafian, marah dan depresi, tetapi akhirnya terima qada dan qadar.

“Watak ini berat tetapi syukur saya sudah mahir mengawal situasi dan tidak lagi terbawa-bawa karakter dalam kehidupan sebenar selepas hampir dua dekad bergelar pelakon,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok