Belajar, tanya sana sini sampai Jakarta – Adriana Adnan

SENTIASA membumi dan memperbaiki kelemahan diri. Pendekatan sebegitu menjadi mantra wajib buat setiap anak seni yang mengejar impian dalam dunia hiburan tanah air.

Kejayaan bukan sekadar bergantung kepada bakat, malah usaha tanpa noktah amat diperlukan demi konsistensi karier.

Ungkapan itu juga berulang kali diucapkan pelakon Adriana Adnan apabila diajukan tentang strategi memahat nama sebagai anak seni.

Pesanan penuh makna tersebut bagai memberi isyarat bahawa perjalanan seorang anak seni tidak pernah mudah, tetapi usaha tekal bakal menzahirkan hasil manis.

Atas alasan itu, wanita anggun berusia 30 tahun itu mengakui sedekad bergelumang dalam industri tidak pernah membuatnya alpa.

Sebaliknya, dia terus mengasah bakat, malah tidak gentar menuntut ilmu lakonan sehingga ke Jakarta, Indonesia.

Penyertaannya dalam komuniti seni Project Selasa (Prosa) selama lapan minggu pada 2023 adalah bukti kesungguhannya.

“Sampai sekarang, saya cuba nak majukan diri. Belajar, tanya orang sana sini, pergi kelas di Indonesia dan sebagainya. Penting sebenarnya untuk kita tingkatkan ilmu supaya dapat tunjuk kepada pembikin-pembikin filem, yang kita mampu.

Prosa adalah platform unik dan bukan sekadar kelas formal, tetapi satu komuniti yang membolehkan kami meluahkan keghairahan terhadap seni.

“Malah, Prosa turut disokong nama-nama besar seperti Reza Rahadian dan Chicco Jerikho. Gurunya, Indra Pacique, antara insan seni yang sangat saya kagumi,” katanya kepada Kosmo! Online.

ADRIANA kini sibuk mempromosikan filem sulungnya berjudul Emp4t, arahan duo kreatif Ayez Shaukat Fonseka dan Silver Yee yang bergenre seram psikologi.

Tambah pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu, pendekatan komuniti seni di Indonesia sangat berbeza dan mendalam, malah lebih mementingkan kualiti pengalaman berbanding bayaran.

“Saya memilih belajar di sana sebab saya rasa di sana ada banyak komuniti seni. Mereka tidak kisah soal duit. Yang penting, kita ada keghairahan dan keseronokan berkarya. Itu sesuatu yang berbeza dengan pendekatan formal di Malaysia.

Saya tertarik dengan format mereka, santai tetapi memberi impak besar. Di Malaysia memang ada, tapi pengajian formal dan bukan santai. Ini ada komuniti, ada rakan sekelas, ada ujian. Itu yang saya nak,” jelasnya.

Tidak sekadar menimba ilmu, bekas pengacara HLive itu juga bercita-cita untuk mewujudkan kelas seni sedemikian di Malaysia suatu hari nanti.

Bila kita belajar sesuatu yang berkesan, secara tak langsung kita rasa nak beri balik kepada masyarakat seni kita.

“Mungkin satu hari nanti, saya pula akan buka kelas seperti itu,” ujarnya penuh harapan.

Berbicara tentang perkembangan terbaharu, Adriana sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu dibintanginya berjudul, Emp4t arahan duo kreatif Ayez Shaukat Fonseka dan Silver Yee.

Filem bergenre seram psikologi tersebut bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 16 Januari ini.

Emp4t bukan sekadar filem seram biasa tetapi gabungan kisah persahabatan dan elemen psikologi yang mampu menghibur dan menyentuh hati penonton.

“Ini filem pertama saya, saya sudah lakukan sehabis baik yang boleh. Saya bangga menjadi sebahagian daripada produksi ini,” katanya.

Bagi Adriana, tiada istilah berhenti dalam perjalanan seni. Setiap peluang adalah ruang untuk belajar dan setiap usaha akan memberi ganjaran buat individu yang bersungguh-sungguh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok