PEREKA fesyen Razman Razmi berkeras menolak sebarang cadangan menarik laporan polis serta menyelesaikan kes di luar mahkamah terhadap individu yang mencederakan mereka.
Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Razman Din, 53, dan Razmi Abdul Rahman, 46, berkata, tindakan individu terbabit telah menjejaskan reputasi serta nama baik yang dibina selama lebih dua dekad dalam industri fesyen tempatan.
Jangan nak suruh orang kau sana-sini wakilkan minta pihak kami tarik kes dan selesai luar mahkamah. Kau dah buat kami malu satu Malaysia, sakit, trauma, kecacatan fizikal dan (tanggung) kos perubatan.
“Jejaskan nama baik kami selama 25 tahun dalam perniagaan. Pandai pula telefon rakan artis, kawan kakak kau. Sudah buat kau tanggung,” ujar mereka menerusi Instagram Story.
Pun begitu, Razman dan Razmi memberitahu mereka hanya bersedia mempertimbangkan penyelesaian jika individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM500,000.
Dalam masa sama, mereka turut memberi amaran kepada individu tersebut agar menghormati proses mahkamah selain jangan mendekati mereka.
Kalau nak sangat, bayar kami berdua RM500,000 untuk semua yang kami lalui dan buat PC (sidang media) minta maaf satu Malaysia. Itu pun kalau kau ada duit.
Ingat senang kami nak hadap? Pandai pula nak selesai luar mahkamah dan minta maaf macam itu sahaja. Kau rasa apa kami rasa. Kau tak fikir pun sebelum buat.
Tolong jangan ganggu kami. Kan dah dapat arahan tak boleh dekat atau ganggu kami,” tambahnya.
Enggan berkompromi, Razman dan Razmi turut menegaskan mereka akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan nama baik yang tercemar akibat insiden itu.
“Tak semudah itu, tunggu saman balas kami. Kami tak mahu cakap lebih dekat sini, pihak kami tidak akan berdiam diri.
“Kami serahkan kepada pihak berwajib urus. Jangan sesiapa pun ganggu kami kecuali hal-hal berkaitan perniagaan,” jelas mereka.
Pada 8 Januari lalu, Razman dan Razmi secara tiba-tiba diserang seorang jurugambar sehingga mengalami kecederaan pada bahagian pipi akibat dipukul dengan kamera.
Kejadian itu berlaku pada sebuah acara anugerah di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Kelmarin, seorang jurugambar bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencederakan dua pereka fesyen. – HIBGLAM