MENDAHULUKAN solat, pelakon dan pengacara Janna Nick dilambung pujian selepas mendedahkan barangan yang sentiasa dibawa dalam beg tangannya, termasuk telekung ‘instant’.
Menerusi sebuah video dalam TikTok, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 30, menunjukkan isi beg tangannya yang mengandungi minyak wangi, dompet dan kipas kecil.
Namun barangan terakhir yang ditunjukkan iaitu telekung ‘instant’ mengundang rasa kagum netizen yang menyifatkan pelakon drama Surat Dari Tuhan itu tidak mudah alpa malah mengutamakan ibadah solat walau di mana berada.
“Orang biasa pun belum tentu bawa telekung dalam beg. Inilah orang kata jangan menilai dari luaran. Tabik hormat dengan Janna yang mendahulukan bab-bab solat, tidak semua artis macam ini,” kata seorang pengguna media sosial.
“Bagusnya Janna, moga Allah kurniakan hidayah kepada awak untuk menutup aurat dengan sempurna,” komen seorang netizen.
Bukan itu sahaja, ada juga netizen yang berkongsi kisah rakan artis Janna yang pernah memuji disiplin isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu dalam menjaga solat.
“Dulu pernah ada rakan artis cerita, dia hormati Janna kerana bab solat. Dekat set penggambaran pun Janna akan curi masa untuk solat,” kata seorang netizen.
Komen-komen positif tersebut jelas menunjukkan penghargaan orang ramai terhadap sikap Janna yang sentiasa menjadi contoh baik kepada peminat. – HIBGLAM.