BUAT kerja gila! Demikian pengakuan ikon rock, Datuk Awie mengenai kemunculan epik dalam Konsert TRIAD yang bakal menyaksikannya menjadi vokalis untuk tiga band iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya.
Zepp Kuala Lumpur akan menjadi gelanggang detik bersejarah pada 14 Februari nanti, sekali gus dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai satu-satunya persembahan sedemikian.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, ilham tersebut diperolehnya sebelum serangan Covid-19 namun projek itu tidak dapat direalisasikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujarnya, selepas lima tahun kini hasrat yang terbantut itu menjadi misi utama, bahkan diadakan dalam skala mega bersama tiga kumpulan termasuk Dragon Malaya yang dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C dan Pae.
“Dragon Malaya yang ditubuhkan pada 1998 merupakan kumpulan pengiring saya untuk persembahan solo selain tampil dalam projek album Rentap membariskan beberapa lagu hit termasuk Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.
Dengan Search Kid Din serta Wings pula saya sangat berbesar hati kerana misi yang dicetuskan sebelum ini mendapat sokongan padu mereka. Memang nampak mustahil tetapi sekarang kami hanya tinggal beraksi pada malam itu.
“Belum pernah ada lagi persembahan membabitkan seorang penyanyi bersama tiga band membawakan hampir 30 lagu dalam satu pentas. Konsert TRIAD ini harap dapat dicatat dalam MBOR,” katanya.
Konsert anjuran Rumah Produksi Merah milik Awie itu akan membawa peminat menyelami kembali semangat rock dengan seleksi nostalgia yang sentiasa segar dalam ingatan.
“TRIAD adalah tentang penyatuan bunyi, tenaga, jiwa dan semangat rock yang sebenar. Ini bukan sekadar konsert tetapi satu malam di mana sejarah akan tercipta dan semangat rock terus hidup.
“Alhamdulillah, akan berlangsung nanti. Saya teruja untuk bersama-sama penyokong dan rakan-rakan legenda lain di atas pentas yang luar biasa ini.
“Walaupun menggabungkan tiga band ikonik dan seorang penyanyi bukan mudah, doa, fokus, dedikasi dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada pada tahap maksimum melancarkan misi kami.
“Semua faktor ini perlu diberi perhatian demi memberikan persembahan terbaik untuk anda semua seperti yang kami impikan,” ujarnya.
Simbolik penyatuan
Menurut Awie lagi, persembahan mega itu juga merupakan simbolik kehebatan genre rock selain bakal menjadi momen penting dalam sejarah muzik tanah air.
Bahkan, secara tidak langsung penyatuan tiga band yang sudah berdekad memperjuangkan muzik rock itu dapat dijadikan rujukan kepada rakan seperjuangan lain dan generasi muda.
“Konsert TRIAD bukan tentang kami sahaja, sebaliknya direalisasikan untuk semua sama ada demi kepuasan kaki rock serta seluruh penggiat seni,” katanya.
Tiket untuk menonton konsert TRIAD boleh ditempah secara dalam talian menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/. – HIBGLAM