Arrora Salwa nafi guna sihir, sanggup lalu bawah ampaian

Didakwa menggunakan sihir, penyanyi Arrora Salwa menyangkal tuduhan berbuat demikian sepanjang bertarung dalam program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Malah, Arrora atau nama lengkapnya Salwa Md. Razak, 39, turut berkongsi amalan membaca ayat suci al-Quran bagi menghindari diri daripada terkena ilmu hitam.

“Ada yang kata Arrora Salwa pakai ‘Mak Esah’. Tak perlu pakai, ayat al-Quran lebih senang.

“Saya nak beritahu, amalkan surah al-Baqarah ayat satu sehingga lima dan ayat Kursi.

Tiga surah al-Baqarah yang terakhir pun hafal, insya-Allah orang nak buat apa-apa dekat kita, benda tak baik akan berbalik kepada dia,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Pelantun lagu popular Ahmad itu turut berjalan melepasi ampaian baju untuk menunjukkan bukti dia tidak mengamalkan perubatan terkutuk tersebut.

Lagi satu orang kata, kalau pakai ‘Mak Esah’ tak boleh lalu bawah ampaian.

“Ini sahaja ampaian yang saya ada jadi saya nak langkah.

“Tak ada pun Mak Esah, elok lagi. Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Arrora sempat berseloroh agar jangan menjaja nama Mak Esah yang semakin kerap digunakan pada masa kini.

“Kasihan ‘Mak Esah’, nama dia dipergunakan netizen, tak baik tau. Tukarlah Mak Salwa pula,” selorohnya.

Difahamkan, ada pihak yang cuba memfitnah Arrora menggunakan ilmu hitam semasa dalam GV11 sebagai strategi memenangi program realitI tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok