SELEPAS tersingkir pada minggu keenam program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), penyanyi Illa Sabry memberi bayangan bakal menamatkan karier nyanyian buat selama-lamanya.
Illa atau nama sebenarnya, Fasillah Sabry, 45, berkata, andai dia mendapat tawaran merakamkan lagu baharu, peluang tersebut mungkin akan dipertimbangkan.
“Buat masa ini memang 50-50, sama ada mahu meneruskan atau berhenti terus. Saya memang tiada sebarang rancangan selepas tersingkir GV.
Jujur, saya masuk pun hanya untuk mencuba dan ubati kerinduan. Dahulu saya aktif menyanyi pun sekejap sahaja. Jadi, mahu cabar diri dan melihat sejauh mana saya boleh pergi.
“Ada tawaran sesuai saya mungkin teruskan karier, tetapi kalau tiada, saya akan ucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian buat selamanya,” katanya.
Disoal, tidakkah terasa rugi melepaskan peluang yang sudah terbentang di depan mata, jawab Illa, dia telah mencuba sehabis baik. Jika GV adalah pentas akhirnya sebagai penyanyi, dia reda.
“Saya tidak boleh beri kata putus lagi, memanglah seronok sudah mula ada peminat kembali, orang pun sudah kenal.
“Tetapi andai bidang nyanyian bukanlah rezeki saya, mahu tidak mahu saya harus mengundur diri. Doakan yang terbaik,” luah Illa.
Berbicara tentang penyingkirannya menerusi GV11, Illa berkata dia sudah pun menjangkakan perkara tersebut dan menerima keputusan dengan hati yang terbuka.
Saya ada ‘anxiety’ dan ketakutan di atas pentas yang teruk. Pentas ‘live’ GV ada aura yang membuatkan saya tiba-tiba menjadi takut.
“Walhal sebelum itu ketika membuat ‘sound check’ semuanya okey. Saya juga tidak ada masalah ‘anxiety’ ketika buat persembahan di luar.
“Apa pun, saya bangga dengan diri sendiri, secara peribadi ini pencapaian paling tinggi untuk saya sebagai penyanyi,” tuturnya yang mendendangkan lagu Bunga pada minggu keenam.
Bisnes
Mengisi kehidupan, Illa meneruskan perniagaan makanan bawah jenama Cik Gebu yang telah diusahakan sejak lima tahun lalu.
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, Illa bersyukur perniagaannya mampu bertahan dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
“Tidak mudah, sebelum ada Cik Gebu saya telah menjalankan beberapa perniagaan seperti pengiklanan dan juga kedai makan, tetapi tidak kekal lama.
“Sementara Cik Gebu sudah ada beberapa cawangan dan peminatnya yang tersendiri. Jadi, kalau tidak teruskan karier nyanyian peminat masih boleh berjumpa saya di cawangan Cik Gebu,” jelas Illa.