Telefilem arahan sutradara hebat Bade Azmi itu sudah lama diterbitkan, namun kembali menjadi sorotan ramai apabila diulang tayang beberapa hari lalu.
Penulis secara peribadi bukanlah peminat naskhah air mata, namun kalau yang menjayakan kisah seperti Dosa Tak Terampun terdiri daripada pelakon legenda seperti Fauziah Ahmad Daud dan Wan Maimunah, pasti menyesal kalau tidak meluangkan sedikit masa menonton karya terbabit.
Tolak tepi soal kualiti visual (memandangkan telefilem berkenaan sudah lama), apa yang penting adalah terjemahan karakter pelakon terlibat termasuk Nad Zainal dan Syafie Naswip.
Fauziah yang memainkan watak utama bernama Junaidah, beliau sememangnya seorang pelakon tiada tolak bandingnya.
Gabungan legenda, plot twist
Punyalah tertanya-tanya mengapa ada dua keluarga dalam satu rumah, namun tidak bertegur sapa, semuanya terjawab apabila kisah ‘ditelanjangkan’ pada penghujung cerita.
Kita semua ada kisah silam yang tidak terpadam dan begitu juga Junaidah.
Dari satu perspektif yang tidak terjangkau, dia seorang wanita tua yang penuh dengan kekesalan, dari sudut lain, dia anak derhaka yang tidak mengenal dosa serta pahala.
Sinergi atau cetusan kimia antara Wan Maimunah dan Fauziah memang tiada tandingan. Kalaulah mereka pelakon orang putih yang berkelana di Amerika Syarikat, sudah lama trofi Oscars dalam genggaman.
Bahasa tubuh, lontaran dialog, permainan emosi ditonjolkan dua pelakon itu memang cukup luar biasa.
Nasihat buat para pelakon zaman sekarang, kalau ingin meruntun jiwa penonton dengan jayanya, teladanilah komitmen dan cara kerja dua pemain sinema tersebut.
Kehebatan Dosa Tak Terampun tidak lengkap tanpa kualiti lakonan dua pelakon Nad Zainal Dan Syafie Naswip.
Mental, pelengkap kisah
Sejujurnya, penulis sangat merindukan zaman Nad aktif berlakon sebelum memilih untuk istiqamah dengan kehidupan sekarang.
Nad Zainal antara pelakon alaf baharu yang paling berbakat dan itu adalah suatu fakta yang tiada penafian. Bagi sahaja watak apa pun kepadanya waima anak derhaka, penyondol ataupun wanita tersakiti, semuanya dijayakannya dengan terbilang.
Dalam Dosa Tak Terampun, Nad membuktikan dia juga pernah berada pada zaman kemuncaknya. Campak apa sahaja watak, pasti dibangunkan tanpa cela dan cukup kemenjadiannya.
Seorang lagi pelakon, Syafie melakonkan karakter ‘mat pet’ juga meninggalkan dampak tersendiri. Walaupun screentime untuknya tidak panjang, setiap babak dan saat dijayakan tidak disia-siakan.
Dari segi jalan cerita, Dosa Tak Terampun berdiri sebagai sebuah telefilem yang sarat pengajaran dan air mata. Anak derhaka itu wujud di mana-mana dan jika tersilap langkah, kita juga berpotensi menjadi sebahagian daripadanya.
Apa yang ditinggalkan menerusi naskhah ini adalah penyakit mental seperti skizofrenia kadang-kadang daripada memori, dosa atau kisah lampau seseorang yang tidak terampun diri sendiri.
Dosa Tak Terampun arahan Bade Hj. Azmi kini boleh ditonton secara online di RTMKlik.