MESKI memilih untuk berdamai, pelakon, Jay Iswazir, 42, tetap mahu bekas isterinya, Azzahra Ahmad membuat permohonan maaf secara terbuka.
Jay berkata, pihaknya bagaimanapun tidak tergesa-gesa untuk mengambil tindakan terhadap bekas isterinya walaupun notis tuntutan atau Letter of Demand (LOD) permohonan maaf telah dikeluarkan pada 19 Disember lepas.
“Saya tidak berhubung dengan Azzahra, tetapi wakilnya (peguam) telah membalas LOD itu. Kami dalam proses berbincang, pertamanya, untuk berdamai dan keduanya bagi membersihkan apa yang keruh.
“Saya tidak ‘rushing’ untuk bersihkan nama sebab ini membabitkan salah faham dan emosi. Saya juga tidak boleh pentingkan diri sendiri, jadi saya ‘go with the flow’.
“Selebihnya saya tidak akan komen kerana boleh berlaku salah faham. Saya rasa ini tindakan yang betul kerana telah serahkan perkara ini kepada peguam,” ujarnya.
Pelakon filem Tablis Iblis itu menjelaskan, dia memilih mengambil tindakan undang-undang kerana mahu menyelesaikan salah faham yang berlaku.
“Bila salah faham, sukar untuk mendapatkan penjelasan sebab akhirnya dalam hidup ini kita tidak rasa kita bersalah atas apa kita lakukan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi filem arahan Pierre Andre, Dajal di GSC The Starling, di sini sebentar tadi.
Sebelum ini Jay memberi tempoh lanjutan selama 10 hari kepada bekas isterinya bagi membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah.
Menerusi satu kenyataan peguam mewakili Jay, pihaknya terdahulu menerima surat penangguhan daripada Azzahra yang memohon tempoh lanjutan selama 14 hari selepas Jay mengeluarkan LOD.
Dalam notis berkenaan, Jay menuntut bekas isterinya membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari bermula dari tarikh notis tuntutan dikeluarkan.
Azzahra dan Jay berkahwin pada Mac 2022, namun bercerai pada 28 Oktober tahun lalu. Pasangan itu bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM