‘Memang ada masalah tapi kami elok sahaja’

ENTAH dari mana asal sumbernya, perhatian peminat dunia hiburan kini terarah kepada pasangan selebriti, Ben Ali dan Nadiyah Shahab yang didakwa sedang berdepan gelora rumah tangga.

Secara tiba-tiba kedua-dua pelakon yang sebelum ini dilabel sebagai suami isteri romantis sejak berkahwin enam tahun lalu dikatakan tidak lagi sehaluan.

Enggan membiarkan spekulasi liar bertebaran, Ben atau nama lengkapnya Nur Ali Nadzwan, menegaskan tiada perkara pelik andai pasangan berbeza pendapat, namun dakwaan kononnya sudah ke tahap berpisah adalah tidak benar sama sekali.

Buktinya, mereka masih bersama mengusahakan Absolut Events & Management mengelolakan ekspo raya terbesar, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya. Mungkin, ketegasan dan profesionalisme yang diamalkan barangkali menampakkan mereka seperti bergaduh.

KATA Ben, spekulasi liar yang bertebaran hanya salah faham segelintir pihak.

“Orang boleh bercakap apa sahaja, keluarkan pelbagai spekulasi tapi desas-desus yang disebarkan (berantakan) tidaklah sampai ke situ.

Saya akui kami memang ada masalah tetapi dalam setiap perkahwinan pun benda ini normal, kami tetap cuba selesaikan dengan baik.

“Cuma kerana status kami sebagai artis, perkara seperti ini diperbesar-besarkan. Kami ada sahaja di sini, elok (bahagia) sahaja,” kongsinya.

Menyentuh isu kononnya bergaduh sesama sendiri, akuinya mungkin orang luar salah sangka memandangkan pertelagahan dimaksudkan hanya membabitkan kerja.

Kami hanya mahukan yang terbaik untuk syarikat dan festival ini. Perbezaan pendapat dalam membuat keputusan membabitkan bisnes adalah perkara sihat.

“Kadangkala ada hari saya tak setuju, ada hari Nadiyah pula tak setuju. Itu yang buat gaduh tapi semua ini cuma hal normal,” ulasnya.

Gaduh normal

Bagi Nadiyah pula, apabila bekerja dengan suami sendiri lebih mudah kerana dapat menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati dengan lebih terbuka.

NADIYAH dan Ben fokus terhadap perniagaan terutama Absolut Bazaar yang bakal berlangsung Mac depan.

“Sememangnya saya senang bekerja berdua sejak kami sama-sama usahakan Absolut Bazaar sampai jadi satu tanda dagang yang kukuh.

Apabila dengan orang yang kita dah biasa, selesa kita boleh cakap apa sahaja tanpa risau orang itu akan sentap atau sebagainya.

“Jika berlaku masalah, kita takkan malu untuk bertanya kenapa situasi itu boleh berlaku. Setiap inci perkara, kita risau ke, takut event tak jadi ke, idea bagus atau tidak kita boleh cakap,” ujarnya.

Lebih selesa fokus terhadap persediaan ekspo yang sebelum ini diiktiraf Malaysia Book of Records, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu mahu membiarkan sahaja spekulasi berlalu.

Paling utama kini adalah mengukuhkan lagi jenama Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya anjuran bersama My Events International yang kali ini disertai lebih 700 tapak selain dijangka menarik dua juta pengunjung.

Ekspo sempena Syawal di Singapura ini akan diadakan Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur selama 66 jam pada 21 Mac depan. Ini paling penting bagi kami,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok