AINA Abdul, sepotong nama yang tidak akan lari daripada mencipta kelainan setiap kali membuat persembahan.
Tidak kira konsert atau persembahan berskala kecil, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu tetap akan buat sehabis baik, baik nyanyian mahu pun busana yang digayakannya.
Baru-baru ini, dia sekali lagi memukau lebih 1,500 peminat menerusi persembahan bertenaga pada Konsert Imaji Tour yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Aina tampil anggun dengan dres merah jambu rekaan Ezuwan Ismail pada segmen kedua konsert.
Membuka pentas secara dramatik dengan selakan langsir bersaiz gergasi, dia berjaya membuatkan penonton terkesima sepanjang mendendangkan empat lagu terawal pada malam tersebut iaitu Imaji, Kejam, Satu Rasa dan Getayangan.
Menyarung busana rekaan Melinda Looi, Aina berkata, konsert tersebut merupakan projek paling sukar dan mencabar untuk direalisasikan sepanjang karier nyanyiannya.
Dia bagaimanapun mengutip semangat peminatnya untuk memastikan acara tersebut tetap berlangsung selain terharu melihat sokongan berterusan daripada pengikut setia terutama Ainations untuk konsert jelajahnya.
“Sebenarnya saya sangat terharu dengan sokongan anda semua. Ini adalah album pertama saya.
Zaman sekarang susah nak buat album tetapi sebagai ‘singer songwriter’ saya perlu ada album sendiri jika mahu buat konsert.
“Di sebalik banyak kecaman dan kata-kata sumbang yang saya dengar, hati saya sebagai manusia biasa adakalanya terusik juga tetapi syukur masih kental atas sokongan peminat,” tuturnya.

SELAIN Zepp KL, Imaji Tour Aina berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Sarawak pada 14 Disember lalu dan penutupnya bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah pada 11 Januari ini.
Menerusi konsert tersebut, penyanyi berusia 31 tahun itu sempat menitipkan penghargaan kepada beberapa pihak dan individu yang banyak membantu dalam kembara seninya selama ini.
Saya nak beri sedikit penghargaan kepada tetamu penting yang hadir pada konsert ini kerana mereka adalah insan penting dalam perjalanan hidup saya. Mereka adalah pasukan TV3 yang banyak beri saya peluang sejak menyertai program realiti Mentor Legend hingga Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Pasukan Usanita yang sokong dengan idea gila-gila saya setiap kali ada persembahan dan konsert, pereka fesyen Rizman Ruzaini, pasukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO),” katanya lagi.
Aina yang tampil anggun dengan dres merah jambu hasil sentuhan pereka fesyen Ezuwan Ismail turut membuat kejutan dengan mengusung dua ekor kucing diberi nama Hiro dan Susu yang sudah dianggap seperti anak-anaknya.
Menggelar dirinya sebagai ‘mama’, Aina berbangga dengan dirinya apabila berjaya mengatasi rasa ketakutan terhadap kucing.
Dua makhluk ini banyak mengajar saya dalam pelbagai hal, kini saya faham perasaan ada yang menunggu setiap kali pulang ke rumah. Seronok rasanya,” ujarnya.

Aina bawa kucing kesayangannya sebagai kejutan buat peminat.
Dalam segmen kedua, antara lagu dinyanyikan ialah Penat Jiwa, Kunci, Menua dan Cinta Tak Pernah Tepat Waktu yang merupakan karya duet bersama penyanyi Indonesia, Fabio Asher.
Pada segmen terakhir konsert berdurasi dua jam itu, dia turut mengumumkan tidak akan terlibat dalam sebarang konsert solo sepanjang 2025.
Bukan merajuk atau mahu lari dari dunia seni, keputusan tersebut diambil untuk memberi sepenuh perhatian terhadap penghasilan lebih banyak karya bermutu.
Saya akan berehat daripada mengadakan konsert solo dan 2025 adalah tahun untuk saya mengembara dengan diri.
Kemudian, insya-Allah akan berkolaborasi dengan beberapa penggiat seni tanah air lain namun semuanya masih rahsia,” jelasnya lagi.
Seperti yang penulis katakan, memang tidak lengkap acara kalau tiada kejutan. Aina tampil menutup konsert dengan dua lagu iaitu Sepi dan Jangan Mati Rasa Itu di tempat duduk penonton.
Tidak berlebihan jika pujian dikalungkan buat Aina kerana bijak bermain dengan emosi penonton dan mencari idea demi kepuasan maksimum peminat yang tidak jemu menyokongnya selama ini. – HIBGLAM