PENYANYI dan pelakon sensasi kelahiran Singapura, Aliff Aziz berazam tahun 2025 akan menjadi tahun kebangkitannya dalam industri seni tanah air.
Menerusi hantaran dalam akaun Instagram, Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 34, optimis untuk bangkit dari titik hitam yang berlaku dalam hidup.
“Forged in fire (kini sudah lebih baik selepas kesulitan lalu). Fallen but never broken (Terjatuh tetapi tidak pernah pecah). 2025 adalah kebangkitan diri saya yang baharu. Ini adalah kelahiran semula saya,” tulisnya.
Pelantun lagu Sayang Sayang itu juga memadam gambar-gambar lamanya dalam Instagram seolah-olah ingin melupakan masa silam dan memulakan hidup baharu.
“Ke arah lebih positif. Semoga kembali sukses. Bangkit dan teruskan kariermu ke arah kemajuan. Semoga Allah beri kekuatan dan kejayaan,” komen netizen.
Tahun lalu, nama Aliff Aziz antara yang paling menjadi sorotan netizen serantau selepas dia ditangkap khalwat bersama aktres Ruhainies di kediaman wanita itu.
Pada Jun 2024, Aliff sah bercerai dengan Bella Astillah buat kali kedua. Sebelum itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Yasmine telah mendedahkan pelbagai maklumat sulit tentang Aliff dan Ruhainies yang menyebabkan mereka berdua dikecam dengan hebat netizen. – HIBGLAM.