‘Saya bukan wanita lantang, kaki gaduh’

HANYA seketika memanas saat namanya dipetik terkait isu pelakon Ruhainies dan Aliff Aziz lebih setahun lalu, Chacha Maembong sebenarnya bukan selebriti yang gemar menjemput sensasi.

Bahkan bintang drama  Lara Kasih itu juga bukan individu yang suka mencari gaduh.

Sebagai insan biasa, dia hanya mempertahankan diri dan kakaknya Emma Maembong daripada terheret kontroversi yang tiada kaitan dengan mereka.

Bagi pemilik nama lengkap Siti Aishah Ismail itu, andai ada yang melabelnya sebagai kaki gaduh, dakwaan sebegitu hanya rekaan semata-mata.

 NAMPAK  gila-gila, hakikatnya Chacha seorang yang introvert, pemalu dan sukar bersosial. – Solekan @makeupby_nazrisulaiman

Secara peribadi, dramatis berusia 28 tahun itu tergolong dalam kategori manusia sejuk. Dia sukar melampiaskan kemarahan, sebaliknya selalu tenang saat diduga sebarang isu.

“Itulah sisi sebenar keperibadian saya. Saya memang tidak suka cari pasal dengan sesiapa pun, bukan juga jenis wanita lantang.

Kalau perkara itu sudah melampau seperti isu tempoh hari, saya perlu tampil sementelah Emma orangnya lembut, jadi dia tidak mungkin bersuara.

“Ada juga yang usik ‘benda boleh gaduh’, tetapi itu bukan tujuan saya kerana perkara yang dikongsikan dalam media sosial ketika itu bagi membalas tuduhan,” katanya kepada HibGlam.

Enggan terus menyingkap hal orang lain, Chacha sedar pandangan segelintir pihak terhadapnya. Dia mudah dilihat garang dan lantang menzahirkan perasaan secara terbuka.

MEMBESAR dalam suasana ‘home school’ menjadi antara elemen penting dalam keperibadian Chacha dan adik-beradiknya. – Tatarias Rambut @wandywndy_

Hakikatnya, banyak sisi keperibadiannya tidak diketahui orang luar. Nampak semacam gila-gila, walhal sebenarnya, Chacha seorang yang introvert, pemalu dan sukar bersosial.

Tidak hairan apabila insan paling rapat dengan Chacha hanya adik-beradik sendiri, terutama saudara perempuan yang sama-sama berada dalam industri iaitu Emma, Yaya dan Shikin.

Saya bertuah mempunyai adik- beradik seramai 11 orang, itu belum campur ipar dan anak-anak saudara yang membuatkan keluarga kami sentiasa meriah. Macam kenduri kalau semua berkumpul.

“Mungkin disebabkan pemalu, saya lebih ‘hidup’ apabila berada di samping mereka.

Orang lain nampak saya gila-gila, itu kerana saya tak mahu mereka rasa saya sukar didekati atau sombong. Tidak, saya hanya seorang yang introvert.

“Teman akrab pun boleh kata seorang sahaja. Itu pun bukan dalam kalangan artis. Tidaklah bermaksud saya enggan berkawan dengan mereka dalam bidang sama, ramai sahaja kawan dalam kalangan pelakon atas dasar kerja,” ujarnya yang kini memilih tertutup soal hati daripada pengetahuan umum.

 

CHACHA bakal muncul dalam sebuah filem epik berjudul Limbungan: Tragedi Hitam 1975 yang akan ditayangkan bermula 6 Februari. – Stylist @styledbynanachah

Kongsi rahsia

Tambah bintang filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 itu, hanya dengan adik- beradik segala rahsia atau cerita dikongsi tanpa sebarang prasangka.

Bukan tidak mempercayai orang luar, namun katanya berkemungkinan latar belakang menjalani pendidikan di rumah secara ‘home school’ sejak kecil membentuk keperibadian sedemikian.

Sejujurnya saya selesa begini. walaupun kadangkala kami pernah merajuk, bermasam muka tetapi sudah namanya adik-beradik, cepat sahaja berbaik.

“Saya tahu bukan tiada dalam kalangan adik-beradik yang tikam belakang, cuma minta dijauhkan. Biarpun kami semua sudah bina keluarga sendiri, keluarga besar Maembong akan kekal akrab,” kata anak kepada pelukis terkenal negara, Ismail Maembong itu bersungguh-sungguh.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Chacha menyifatkan naskhah seram bersandarkan mitos harimau jadian gandingan bersama Kodi Rasheed, Limbungan: Tragedi Hitam 1975, memberi pengalaman istimewa buatnya.

Walaupun hanya sebagai isteri Ramli lakonan Kodi, latar 1970-an dengan aura zaman itu membangkitkan semangat luar biasa,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok