Wawa Zainal, Aeril Zafrel bayar zakat RM1 juta

PASANGAN selebriti terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel sekali lagi menjadi inspirasi kepada masyarakat apabila menunaikan tanggungjawab sebagai usahawan Muslim dengan melunaskan zakat perniagaan.

Sama seperti tahun lalu, mereka menyerahkan bayaran zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM1 juta.

Menurut Wawa Zainal, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan memerlukan.

“Rezeki yang diperoleh ini bukan hanya milik kita, tetapi ada bahagian untuk mereka yang lebih memerlukan.

“Zakat adalah salah satu cara untuk membersihkan harta dan pada masa sama membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Aeril Zafrel pula menambah, zakat dibayar bagi memastikan perniagaan yang diusahakan sentiasa diberkati.

“Sebagai usahawan, kami ingin memastikan perjalanan perniagaan sentiasa diberkati. Dengan menunaikan zakat, ia bukan sahaja menunaikan kewajipan agama tetapi juga memberi kami ketenangan dalam mencari rezeki,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2016, Wawa Cosmetics sudah berkembang pesat dan menjadi antara jenama kosmetik digemari ramai di Malaysia.

Selain menumpukan kepada produk berkualiti tinggi, syarikat mereka juga komited terhadap tanggungjawab sosial, termasuk pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Langkah Wawa Zainal dan Aeril Zafrel ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada usahawan lain untuk sama-sama menunaikan Rukun Islam ke-empat itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok