PASANGAN pelakon popular Wawa Zainal dan Aeril Zafrel menjadi antara selebriti yang terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir bersama pasukan Tengkujuh Ranger Rauhah di Kelantan.
Berdasarkan video yang dikongsikan Wawa atau nama lengkapnya Nur Hawa Zainal Abidin, 33, pasangan itu mengagihkan barangan keperluan asas seperti lampin bayi, makanan, sabun, ubat gigi, bekalan air bersih dan wang tunai.
Allahu berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga dipermudahkan urusan mangsa-mangsa banjir ini,” katanya menerusi Instagram.
Usaha Wawa dan Aeril itu turut mendapat reaksi positif dalam kalangan warga maya yang memuji sikap prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Terima kasih Aeril dan Wawa sudi bantu rakyat Kelantan. Hanya Allah dapat membalas jasa baik kalian.
“Ini Kampung Kubang Sawa, Tumpat. Terima kasih orang baik. Semoga bertambah lagi rezeki kalian semua,” antara komen netizen.
Dalam pada itu, difahamkan pengguna media sosial dikenali sebagai Aris Zafrulan turut menghargai jasa baik pasangan terbabit membantu penduduk terjejas akibat dilanda banjir.
Kampung kita ini awak. Terima kasih sebab tolong penduduk kampung kita. Kampung Kubang Sawa, Tumpat, Kelantan.
“Tahun ini memang lebih teruk dari 2014 banjir di kampung saya. Cuma beza tahun ini air banjir tidak berwarna teh susu (keruh), sebab air berasal dari Sungai Golok bukan Sungai Kelantan,” katanya.
Sebelum ini, pelakon Datin Fouziah Gous turut bersama Tengkujuh Ranger Rauhah menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk yang terjejas di Tumpat dan Machang.
Lokasi yang terlibat ialah Kampung Kok Kiak, Kampung Limau Nipis, Kampung Ayer Merah, Kampung Naga Ibu, Kampung Sawa Luar, Kampung Sawa Dalam dan Kampung Kuala Jambu.
Misi bantuan oleh pasukan sukarelawan itu dipercayai sudah berlangsung selama dua hari. – HIBGLAM