‘Wanita di luar sana, jangan takut untuk bersuara!’

PELAKON Anzalna Nasir menyeru kaum wanita agar tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir,, 36, wanita perlu berani untuk bangkit dan melawan perasaan takut demi keselamatan diri.

“Kita sebagai wanita tidak boleh sesekali biarkan suami naik tangan.

“Kepada semua wanita di luar sana, jangan takut untuk bersuara!,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Tiada kompromi, pelakon Kahwin 5 itu turut menegaskan bahawa mempertahankan perkahwinan bukanlah alasan untuk terus berada dalam situasi yang membahayakan diri.

Baginya, maruah dan keselamatan adalah lebih penting daripada hubungan yang telah musnah.

“Betul penceraian itu memang menakutkan dan menyakitkan.

“Tetapi, membiarkan diri dipukul sehingga kecederaan serius adalah lebih teruk.

“Lelaki sejati tidak akan naik tangan terhadap wanita!,” tegasnya.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan mengejutkan oleh pelakon Zahnita, yang memuat naik foto menunjukkan matanya lebam akibat dipukul suami.

Zahnita mendakwa insiden itu berlaku selepas dia bertanya mengenai kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Kosmo! melaporkan bahawa suaminya kini ditahan reman selama tiga hari di Kuantan untuk membantu siasatan.– HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok