‘Trauma, bapa dibunuh depan mata saya’

BUKAN menjaja kisah sedih untuk meraih undi, peserta program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Marygrace mengakui masih trauma dengan tragedi pembunuhan mendiang bapanya 15 tahun lalu.

Seperti baru berlaku semalam, Marygrace, 24, berkata, dia menyaksikan sendiri kejadian tersebut bersama seorang adiknya di kediaman mereka di Keningau, Sabah.

Kongsinya, peristiwa menyayat hati itu dilakukan rakan mendiang bapanya yang juga bukan warganegara Malaysia.

Mendiang bapa saya dibunuh sahabatnya depan mata saya dan adik ketika usia saya sembilan tahun di depan rumah kami.

“Perasaan trauma itu masih kuat dan kejadian tersebut seperti baru sahaja berlaku semalam, tidak terpadam dalam kotak ingatan saya,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu kedua CSOIAM semalam.

Menurutnya, kejadian tragis tersebut membuatkan dia berdepan masalah kesihatan mental namun bersyukur mempunyai sistem sokongan yang banyak membantu dirinya mengharungi trauma.

Setiap kali teringat memang akan menggigil dan lebih teruk, pernah juga kemurungan.

“Memang sukar nak lalui dan melupakan perkara tersebut tetapi nasib saya baik kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat iaitu keluarga tercinta yang membantu menempuh fasa itu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Marygrace menegaskan dia bukan individu yang suka menjaja kisah peribadi untuk meraih simpati dan undian ramai terutama dalam program CSOIAM.

Memang trauma tetapi saya tak suka jual cerita sebegini untuk raih publisiti atau mengemis undian.

“Tambahan pula saya sangat sensitif dengan cerita ini dan sebab itu saya tidak kongsi dari awal.

Sebenarnya, menyanyi adalah cara saya luahkan perasaan dan bantu ‘move on’ daripada sebarang masalah yang mendatang.

“Berseronok ketika menyanyi dan dalami setiap bait lirik, ibarat terapi yang bagus. Saya juga salurkan semua emosi dan rasa itu pada persembahan malam ini (semalam),” ujarnya yang sangat meminati Ariana Grande dan Ella.

Semalam, Marygrace meraih pujian juri tetap CSOIAM, Ziana Zain kerana berjaya menjiwai persembahannya menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah nyanyian asal Ella.

Dia juga antara 10 peserta yang berjaya melangkah ke minggu ketiga CSOIAM bersama Zazzleen, Jimi, Dayangku Iffah, Rezza Shah dan Eylia Guntabid.

Empat peserta yang turut layak adalah Dr. Hafiz Zainal, Mariam, Kai Deva dan Alya Mardien.

Juara OIAM bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.

Markah keseluruhan para peserta dinilai berdasarkan 60 peratus daripada tiga juri tetap iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan serta baki 40 peratus lagi bergantung kepada undian penonton.

Program tersebut dihoskan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy sebagai pengacara serta bersiaran menerusi saluran TV3 setiap Ahad, pukul 9 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok