Otai masih berbisa!
Itulah yang dapat disimpulkan mengenai kumpulan muzik KRU apabila tiket Konsert GenKRU telah habis dijual dalam masa satu jam.
Menerusi hantaran dalam Instagram, penganjur konsert, Iman Tang meluahkan rasa syukur atas sokongan peminat-peminat KRU dan memberi ‘hint’ tentang hari kedua.
Syukur Alhamdulillah pada hari Jumaat yang barakah dan mulia. Tiket konsert GenKRU telah habis dijual atas sokongan dan penghargaan peminat terhadap trio ikon negara, KRU.
“Kami ingin merakamkan rasa terharu dan penghargaan kami buat semua. Nantikan pengumuman untuk hari kedua secepat mungkin. Siap sedia untuk ‘battle’ lagi ya,” tulisnya.
Sementara itu, salah seorang anggota KRU iaitu Datuk Yusry Abdul Halim akui tersentuh melihat sokongan peminat yang masih ingin menonton persembahan mereka.
“Saya sangat tersentuh dan terharu atas sokongan semua untuk konsert GenKRU. Terus terang saya sangat terkejut dan gembira tentang perkhabaran bahawa tiket telah ‘sold out’.
Saya tak sangka masih ada yang sudi menonton persembahan nyanyian kami bertiga. Saya juga mendengar rintihan sesetengah peminat yang telah mencuba untuk beli tiket, tetapi gagal.
“Saya sedih mendengar cerita anda semua. Insya-Allah kita akan cuba untuk menambah satu lagi malam. Harap-harap dapat mengubat kerinduan kami terhadap peminat semua,” tulisnya dalam satu hantaran dalam Instagram.
Konsert GenKRU yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment bakal dipentaskan di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Mei 2025. – HIBGLAM