“MOMMY akan rasa lebih baik.”
Itu antara kata-kata penenang dan penguat semangat yang diberikan anak perempuan Nur Fazura iaitu Nur Fatima Aisya yang baru berusia empat tahun kepada ibunya sepanjang melalui fasa getir dalam hidupnya sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Fazura, Fatima seperti memahami apa yang sedang dilaluinya pada waktu ini terutama berkaitan perceraian dengan bekas suami, Fattah Amin pada September lalu.
Mommy tahu beberapa bulan kebelakangan ini sangat mencabar untuk kita berdua. Mommy ingin kamu tahu bahawa mommy amat bersyukur dan bangga dengan ‘hero’ yang Allah SWT kurniakan kepada mommy iaitu dalam diri kamu.
“Kamu telah menyaksikan sisi mommy yang tidak pernah ingin dilihat. Fatima juga telah menunjukkan kekuatan dan begitu luar biasa yang mengejutkan mommy.
Kata-kata kamu yang menenangkan iaitu ‘mommy akan rasa lebih baik’ sentiasa membantu untuk menempuh banyak perkara tahun ini.
“Mommy berterima kasih kepada Allah setiap hari atas nikmat yang kita memiliki satu sama lain,” katanya dalam Instagram.
Sama seperti setiap ibu lain, Fazura sentiasa mengharapkan kehidupan terbaik untuk puteri tunggalnya itu.
“Andai suatu hari nanti kamu membaca ini, ketahuilah bahawa setiap perkataan adalah ikhlas dan setiap ibu di dunia ini hanya mahu yang terbaik untuk anak mereka.
Kebahagiaan kamu sangat penting untuk mommy. Terima kasih kerana membenarkan mommy membesarkan kamu dengan penuh kedamaian dan hati mommy tidak lagi hancur berkecai.
“Mommy mungkin tidak mampu menjelaskan semuanya sekarang tetapi yakin suatu hari nanti kamu akan faham,” jelasnya.
Pelakon Manisnya Cinta Di Cappadocia itu turut mendoakan Fatima sentiasa dilindungi dan akan menyayanginya lebih daripada segala-galanya.
“Segala yang mommy lakukan untuk kamu sejak hari kamu dilahirkan, mommy ingin terus melakukannya dengan sepenuh hati.
Mommy sayang kamu lebih dari semuanya dan apabila kamu katakan ‘i love you all the much’, yakinlah bahawa saya menyayangi kamu lebih daripada itu,” ujarnya.
Terdahulu, pada 13 Disember lalu, Fazura mengumumkan telah selesai menjalani tempoh idah selepas sah bercerai dengan bekas suami, Fattah Amin pada 7 Oktober 2024.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun. – HIBGLAM