ISTERI kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi meminta orang ramai jangan mempercayai informasi mengenai suaminya selagi bukan daripada sumber sahih.
Kakitangan sebuah syarikat penerbangan itu berkata, sebarang perkembangan terbaru mengenai keadaan atau kes membabitkan Along hanya menerusi dirinya.
“Apa-apa informasi atau maklumat terbaharu hanya akan datang daripada saya.
“Jadi, saya berharap anda tolong berhenti menokoktambah cerita yang tidak betul,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran sama, Afreena turut berharap netizen tidak lagi mengutuk suaminya, selain meminta mendoakan kesejahteraan lelaki disayanginya itu.
“Saya sahaja tanya, tak penat ke ‘condemn’ Along macam-macam? Saya baca pun letih.
“Tapi, saya tak marah sebab anda semua ada hak untuk bercakap apa sahaja, itu telefon, papan kekunci, media sosial anda, cuma sudahlah.
“Hanya doakan untuk suami, saya, anak-anak dan keluarga. Insya-Allah semua akan okay,” ujarnya.
Terdahulu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan
miliki ganja di mahkamah berasingan, masing-masing membabitkan ganja seberat 58.23 gram dan 2.07 gram.
Mengikut pertuduhan pertama, selebriti itu didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, jam 3.10 petang pada 14 Disember lalu.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan sebat maksimum 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Along merayu jaminan diberikan berikutan mempunyai anak yang akan bersekolah, tahun depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Sepang, Along didakwa memiliki ganja seberat 2.07 gram mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan.
Tarikh sebutan bagi laporan kimia untuk kes pertama adalah pada 27 Januari tahun depan, disusuli sebutan semula kes kedua pada 28 Februari 2025. – HIBGLAM