LEBIH 16 tahun bergelar anak seni, pelakon Syarul Ezani akui tidak berkecil hati jika ada pihak beranggapan dia artis baharu.
Malah, dia turut tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-36 baru-baru ini.
Menurut Syarul atau nama lengkapnya Syarul Ezani Mohamed Ezzudeen, 35, tempoh rehat yang panjang daripada dunia lakonan membuatkan ramai menyangka dia pelakon baharu.
“Bukan sekadar peminat, orang dalam industri sendiri ingat saya pelakon baharu.
“Sejujurnya saya okey sahaja. Mungkin mereka tidak perasan kehadiran saya dalam industri sebelum ini.
“Atau mungkin juga penampilan saya sudah berubah membuatkan mereka tidak perasan. Dulu rambut saya panjang,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen koleksi Mayang baru-baru ini.
Selepas muncul dengan drama bersiri Kami dan filem Kami The Movie pada 2008, Syarul tiba-tiba menghilang daripada radar industri hiburan.
Namun drama Mentua yang dibintanginya bersama Fauziah Ahmad Daud dan Siti Elizad yang ditayangkan di TV3 pada Ogos lalu telah melonjakkan kembali namanya di persada seni tempatan.
Ujarnya, dia mengambil keputusan untuk berehat daripada kerjaya lakonan sebelum ini kerana ingin mencari erti hidup.
“Sebenarnya saya mahu lalui kehidupan sebagai manusia biasa. Saya percaya daripada situ kita dapat belajar tentang makna sebenar kehidupan. Bila kita ada pengalaman dalam hidup, lebih mudah untuk menghayati watak dalam lakonan,” jelasnya.
Selepas meledak dengan drama Mentua, Syarul dihujani dengan pelbagai tawaran lakonan.
Terbaharu, dia bakal muncul dalam drama One Cent Thief musim kedua yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, rezeki semakin bertambah selepas drama Mentua. Insya-Allah tahun depan adalah tahun yang baik buat saya. Peminat dapat melihat lakonan saya dalam watak berbeza-beza.
“Selepas tamat penggambaran One Cent Thief, saya masuk ke set penggambaran sebuah lagi naskhah terbitan Astro yang masih lagi dalam penggambaran,” kongsinya.
Rancang kahwin
Bakal menjengah usia 36 tahun pada 2025, Syarul mengakui merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasihnya yang merupakan seorang peragawati.
“Sekarang ini saya masih dalam ‘mood’ untuk berkerja. Tidak dinafikan memang ada tekanan agar segera menikah daripada keluarga dan kawan-kawan. Tetapi saya anggap itu adalah tekanan yang baik kerana mahu menghalalkan hubungan. Insya-Allah, mungkin tahun depan dan kalau boleh lagi cepat lagi bagus,” ujarnya.
Dua tahun menyulam cinta, Syarul akui bertuah kerana memiliki wanita yang sangat memahami kerjayanya.
“Sebagai seorang pelakon, masa kita banyak di set penggambaran. Saya bersyukur kerana memiliki kekasih yang faham dengan kerja saya. Mungkin juga sebab kariernya lebih kurang seperti saya.
“Dalam pada sibuk bekerja, saya akan cuba cari masa untuk diluangkan bersama buah hati kerana itulah yang akan menenangkan dan membahagiakan kami,” katanya mengakhiri perbualan.