BEKAS anggota kumpulan Dolla, Syasya berdepan detik cemas apabila hampir melahirkan bayi pra matang ketika kandungan baru berusia 30 minggu.
Menurut Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, perkara paling menakutkan adalah apabila dimaklumkan bayinya tidak dapat hidup jika dilahirkan terlalu awal.
“Ketika mengemas barang baby bersama suami, tiba-tiba saya rasa basah. Saya lihat ada darah tetapi tidak berasa sakit dan tertanya-tanya adakah ini normal?
Jam 12 malam kami ke hospital, ketika itu saya sudah ada kontraksi selang 10 minit. Doktor kata kemungkinan besar saya akan bersalin pada hari itu atau keesokkan harinya.
“Baby baru 30 minggu, berat pun dalam 1.3 kilogram. Jika bersalin memang baby akan terus di masukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Saya sedih sangat kerana takut apa-apa berlaku jika dia dilahirkan ketika itu,” ujar Syasya.
Oleh sebab itu, Syasya telah ditahan di wad bersalin selama empat hari untuk doktor memantau keadaannya dan bayi dalam kandungan.
Kongsi Syasya lagi, perkara yang memberi kekuatan sepanjang detik cemas itu adalah doa Nabi Yunus, selain sering berbual dengan anak dalam kandungannya.
“Masa itu saya tidak fikir banyak, cuma doa kepada Allah supaya baby tidak keluar lagi pada masa itu. Jika dia keluar sangat berisiko dan saya harap dia boleh tunggu sampai waktunya.
Setiap kali kontraksi saya tidak henti membaca doa Nabi Yunus yang dikongsi ibu, selain saya rajin berbual dengan baby sambil mengusap perut. Sebenarnya baby boleh faham apa yang kita cakap,” tutut Syasya berkongsi pengalamannya dalam video yang dimuat naik di TikTok.
Syasya berasa lega apabila pemeriksaan kesihatan yang dijalankan selepas itu mengesahkan kandungannya berada dalam keadaan sihat dan pendarahan yang dialami juga telah berhenti.
“Masa mengandung ini harus selalu bersedia dengan perkara tidak terjangka. Perkara yang saya rasa tidak akan berlaku pada diri sendiri akhirnya berlaku. Jadi, berhati-hati dan banyak berzikir.
Alhamdulillah, keadaan saya okey, kandungan pun sudah masuk 36 minggu dan hanya tunggu masa untuk lahir,” tutur Syasya.
Syasya melangsungkan perkahwinan dengan Nasrullah Mohd. Sapie pada 21 April lalu selepas membuat pengumuman mengejut mengundur diri daripada kumpulan Dolla atas alasan peribadi. – HIBGLAM