‘Sunyi bukan masalah besar dalam hidup saya’

BAHAGIA menggalas status duda sejak enam tahun lalu, pelakon Nazim Othman mengakui kehidupannya tidak sunyi namun terbuka mencari teman hidup yang sesuai.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 40, bagaimanapun berkata, keserasian pemikiran antara pasangan sangat penting bagi memastikan hubungan yang dibina mampu bertahan lama.

Saya dah cuba buka hati. Sudah cuba. Bukan tidak cuba selama berapa tahun menduda ini. Tapi itulah, orang kata belum ada jodoh lagi.

“Saya belajar daripada kesilapan lepas dan tak mahu berulang. Jadi, saya perlu cari calon pasangan yang benar-benar sesuai.

Bukan sekadar memahami saya, tetapi saya juga perlu memahami dia. Hubungan mesti ada kesefahaman antara satu sama lain,” katanya menerusi audio siar Usanita.

Ketika menyentuh isu kesunyian, pelakon Cina Buta itu menegaskan, perasaan sunyi adalah perkara biasa yang dialami semua orang, tidak kira berpasangan atau hidup solo.

Jujurnya, siapa sahaja yang tidak pernah rasa sunyi? Tidak semestinya mereka yang ada pasangan atau ramai kawan tidak menghadapi kesunyian.

“Bagi saya, kesunyian adalah perasaan semula jadi. Setiap manusia pasti merasainya, tetapi itu bukan masalah besar dalam hidup saya,” katanya.

Nazim turut mengakui lebih selesa memberikan tumpuan terhadap kerjaya seni selain menyerahkan urusan jodoh kepada ketentuan Ilahi.

Sebelum ini aktor terbabit pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Bella Dally pada 10 September 2016, namun ikatan mereka hanya mampu bertahan selama dua tahun.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok