Suliza Salam kembali bergelar isteri selepas 2 tahun

Selepas dua tahun kembali solo, penyanyi era 1980-an, Suliza Salam mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Ismail A Samad pada pukul 11 pagi tadi.

Berita gembira itu dikongsikan pelakon, Anne Abdullah menerusi Instagram dengan memuat naik video majlis pernikahan yang diadakan di kediamannya di Bukit Kiara.

“Tahniah kak Suliza. Moga kekal ke jannah kakakku sayang. Syukur alhamdulillah, saya tumpang gembira untuk anda.

“Terima kasih atas undangan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Difahamkan, hari bersejarah ibu kepada penyanyi Ismail Izzani itu hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat.

Ismail turut kelihatan mengiringi bonda tercinta memasuki ruang pernikahan berbaju Melayu sedondon rona putih dengan ibunya.

Selain Anne, pengantin turut diraikan rakan selebriti ternasuk Ziela Jalil dan Liza Abdullah.

Sebelum ini, Suliza pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991, namun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perceraian mereka.

Begitupun, berita perpisahan tersebut disahkan Ismail yang juga anak bongsu mereka sekitar tahun ini.

Menerusi perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan dua lagi permata hati iaitu Nurizzati dan Nur Falahi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok