PENYANYI era 90-an, Alina Hassan kembali mencuri perhatian selepas berjaya menempatkan diri dalam Top 100 peserta program realiti nyanyian, One In A Million (OIAM), sekali gus muncul sebagai peserta paling senior dalam pertandingan itu.
Ujar Alina, 57, dia tidak menyangka dirinya mampu melangkah sejauh itu memandangkan persaingan sengit daripada peserta muda berbakat besar.
“Rasa bertuah dan tidak sangka. Bila lihat peserta lain, mereka semua hebat-hebat dan jauh lebih muda berbanding saya yang sudah warga emas.
“Namun, saya pergi mencuba nasib dengan niat untuk cabar diri sejauh mana saya mampu bersaing, tambahan pula anak-anak memberikan sokongan penuh untuk saya sertai pertandingan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengenalan Top 100 OIAM, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996, berkata keinginannya untuk melangkah lebih jauh dan berharap terpilih sebagai salah seorang daripada 12 peserta yang bakal beraksi dalam konsert mingguan.
“Saya harap dapat masuk ke peringkat seterusnya. Sudah sampai Top 100, takkan nak balik begitu sahaja. Apa yang berlaku ini semua rezeki.
“Harapan saya, semoga Allah beri kesihatan yang baik kerana saya juga sudah bersedia dengan pelbagai cabaran termasuklah menari meskipun usia semakin lanjut,” ujarnya.
OIAM, yang bakal memulakan tayangan pada 22 Disember ini, menawarkan hadiah utama bernilai RM1 juta, termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT, dan kontrak rakaman.
Bagi musim terbaharu ini, program tersebut menampilkan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy sebagai hos, manakala Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain, dan Cakra Khan bertindak sebagai juri tetap.
Peserta akan berentap selama tujuh minggu sebelum melangkah ke pentas akhir pada minggu kelapan, dengan sistem pemarkahan melibatkan juri (60%) dan undian penonton (40%).
Program OIAM pernah melahirkan juara hebat seperti Suki Low, Ayu Damit, dan Tomok. – HIBGLAM