‘Suami reda, tak adil kami tuding jari kepada pemilik homestay’

DIKECAM gara-gara tidak membuat laporan polis susulan insiden tong gas meletup, penyanyi Syura Badron tampil mempertahankan diri memaklumkan keputusan tersebut dibuat atas permintaan suami.

Kata Syura atau nama lengkapnya Zuraidah Badron, 38, suaminya, Muhammad Farizat yang melecur di bahagian muka, kaki dan tangan akibat insiden di sebuah inap desa reda dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

“Bila kata saya terpaling baik sampai tidak terfikir keadaan suami, saya anggap itu sudah melampau.

Sebelum buat apa-apa keputusan, saya tanya suami dahulu bukannya saya memandai-mandai.

“Saya tanya suami nak ambil tindakan atau tidak kepada pemilik ‘homestay’ tetapi dia kata tak mengapa sebab sudah reda,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Malah, pelantun lagu Nazam Berkasih itu turut menyatakan bahawa pemilik inap desa di Perlis itu sudah memohon maaf selain sanggup menemani suaminya di wad kecemasan.

Tidak adil untuk kami menunding jari kepada pemilik semata-mata. Saya pun nampak usaha pemilik tunggu suami saya di wad kecemasan sehingga keluar dan datang ke Hospital Alor Setar kerana mahu minta maaf.

“Apa yang berlaku adalah kemalangan dan bukan sesuatu yang disengajakan. Musibah Allah nak bagi dekat mana-mana sahaja,” ujarnya.

Dalam masa sama, Syura berharap orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian menimpa suaminya selain berhenti melemparkan kata-kata negatif.

Disebabkan perkara tersebut berlaku, kita semua dapat ilmu baharu tentang keselamatan terutama suri rumah yang selalu masak di dapur.

“Banyak hikmah saya dapat daripada ujian kami terima. Kalau tiada benda baik untuk cakap, lebih baik diam dan saya rasa mendoakan lebih baik,” jelasnya.

Minggu lalu, Syura berkongsi suaminya, Muhammad Farizat dikejarkan ke hospital selepas mengalami luka lecur yang teruk.

Difahamkan kejadian itu berlaku sewaktu mereka berada di sebuah tempat penginapan di Perlis pada Jumaat minggu lalu.

Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menggunakan dapur mudah alih sehingga menyebabkan letupan yang mencederakan suaminya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok