Siti Nurhaliza, Judika ‘tapau’ satu KL

TARIKH 14 Disember menjadi satu lagi momen bersejarah dalam lembaran kerjaya seni sebagai penyanyi dua figura Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Disatukan di atas satu pentas, gabungan mereka pada Konsert The Journey of Sound di Stadium Merdeka baru-baru ini ternyata pilihan yang tepat.

Masakan tidak, stadium yang merupakan antara lokasi ikonik di ibu kota tersebut dibanjiri dengan lebih 24,000 penonton.

Jumlah tersebut sudah cukup membuktikan penangan dua penyanyi itu tiada tandingan.

Pada acara yang menyaksikan puluhan ribu penonton memakai busana berwarna putih dan denim mengikut tema, Faizal Tahir tampil sebagai penyanyi jemputan memanaskan pentas menerusi tiga buah lagu popularnya Sampai Syurga, Santai dan Mahakarya Cinta.

Terus meledakkan adrenalin penonton sebelum acara, perhatian penonton tertumpu pada Siti dan Judika yang diarak masuk mengelilingi stadium dengan menaiki kereta berjenama mewah iaitu Nissan GTR sebelum tampil di pentas utama.

Tidak berlama-lama, seluruh stadium bergema dengan sorakan penonton apabila Siti dan Judika muncul mempersembahkan lagu Kisah Ku Inginkan secara duet.

CUkup hanya dengan Siti dan Judika, dua penyanyi itu sudah sempurna menyanyikan apa sahaja genre lagu untuk menghiburkan penonton di dalam sebuah konsert di tengah kota raya Kuala Lumpur. – SHIDDIQIEN ZON/ihsan UNIVERSE GATEAWAY

Seterusnya, pentas menjadi milik penyanyi asal Sumatera Utara, Indonesia dan tampil dengan persembahan hebat sama seperti konsert-konsertnya sebelum ini.

Antara lagu yang didendangkan adalah Sampai Akhir, Sampai Jadi Milikku, Putus Atau Terus dan Cinta Karna Cinta.

Lagu Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti dan Bukan Rayual Gombal berjaya membuai jiwa galau penonton yang hadir.

Selepas hampir dua jam, Siti yang anggun dalam busana berwarna biru rekaan Samm Republic kembali merampas pentas menerusi persembahan bertenaga lagu Ku Milikmu dan Siti Situ Sana Sini.

Pada usia 46 tahun, figura kesayangan ramai itu tetap lincah menari malah senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir.
Pada konsert kali ini, lagu-lagu yang dinyanyikan ibu kepada dua cahaya mata itu seperti segmen karaoke bersama peminat. Memang mengimbau kenangan habis.

Antara lagu dipersembahkan pada konsert yang menampilkan Genervie Kam sebagai pengarah muzik itu adalah Diari Hatimu, Pastikan, Seindah Biasa dan Kesilapanku Keegoanmu.

Teruja melihat puluhan ribu penonton berkumpul dengan warna tema pakaian putih dan denim, Siti dapat merasakan ‘tenaga’ setiap penonton.

“Tidak mengapa kalau tak pakai warna putih dan denim. Setengah ada yang kata coklat itu biru, ikut hati mereka,” selorohnya mengusik penonton yang tidak mengikut tema.

KONSERT bersama Judika menjadi acara penutup 2024 buat Siti Nurhaliza yang kini sedang liburan bersama keluarga di Dubai.

Siti juga berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong setiap penganjuran konsertnya sehingga hari ini.

“Konsert di Axiata Arena sebelum ini boleh memuatkan 12,000 penonton dan hari ini, di sini, 24,000.

“Bila saya lihat stadium ini penuh, Masya-Allah. Anda memberi ‘energy’ yang luar biasa. Terima kasih kepada semua,” katanya lagi.

Tidak lengkap persembahan konsert Siti sekiranya tiada lagu-lagu Irama Malaysia. Pada malam tersebut,24,000 penonton berjoget lambak beramai-ramai ketika lagu Hati Kama dan Balqis didendangkan.

Selain lagu-lagu popularnya, Siti turut mempersembahkan single baharunya, berjudul Sejarah yang menjadi antara karya simbolik perjalanan seninya.

“Lagu ini menceritakan tentang perjalanan saya selama 30 tahun dalam industri seni.

“Karya ini adalah sejarah dalam hidup saya. Terima kasih kerana menghargai saya selama ini.

“Saya sendiri tak tahu lagi sampai bila saya akan menyanyi tetapi doakan agar saya dapat terus menggembirakan anda semua,” tuturnya.

SITI dan Judika menutup konsert dengan lagu Hal Hebat dan Fantasia Bulan Madu.

Pada segmen terakhir, dua penyanyi itu kembali bersama di pentas tersebut sebelum Siti memukau ramai dengan nyanyian cemerlang menerusi lagu Bukan Dia Tapi Aku sementara Judika pula menyanyikan Wajah Kekasih.

Cemerlang, begitu sahaja dua penyanyi ‘tapau’ lagu orang lain.

Judika juga tidak ketinggalan mempamerkan kebolehan menyanyikan lagu irama Malaysia iaitu Nirmala bersama Siti, gabungan suara mereka memang padu!

Konsert seterusnya ditutup dengan lagu milik kumpulan Search iaitu Hal Hebat dan Fantasia Bulan Madu.

Di sebalik kemeriahan tersebut terselit cerita kurang enak apabila segelintir penonton melahirkan ketidakpuashatian mereka dalam media sosial sehingga hari ini terhadap pihak penganjur yang tidak menyusun tempat duduk dengan teratur.

Bagi mereka, tempat duduk ditetapkan tidak berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.

Harapnya, setiap respons negatif diambil secara positif oleh pihak penganjur dan kembali lagi dengan acara lebih hebat kelak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok