PERTEMUAN tanpa diduga di sebuah majlis menjadi medan perdamaian antara penyanyi dangdut, Baby Shima dengan pengacara, Zhiddin Aziz yang pernah berbalah dalam media sosial dua tahun lalu.
Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 30, berkata enggan memanjangkan persengketaan lalu apatah lagi pemuda tersebut sudah meminta maaf atas ketelanjurannya.
“Sebelum ini kami memang tak pernah bertembung di mana-mana, jadi Rabu lalu menjadi pertemuan pertama kami dan saya tidak tahu pun Zhiddin ada dalam majlis sama.
“Saya tak mengenali Zhiddin, hanya tahu mengenainya selepas tular beberapa videonya dahulu yang mengutuk saya badut dan sebagainya.
“Zhiddin pernah menghantar permohonan maaf melalui mesej langsung, tapi saya tak perasan. Saya dah maafkan. Lagipun dunia hiburan kecil sahaja, kita akan jumpa orang yang sama,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut penyanyi yang turut popular di Indonesia itu, tiada dendam di hatinya tambahan pula Zhiddin mungkin mengikut darah muda ketika itu.
“Setiap manusia pernah membuat kesilapan. Apabila seseorang itu meminta maaf, bermakna dia menyedari kekhilafannya.
“Pada pertemuan kami tempoh hari, Zhiddin juga meminta maaf secara berdepan. Memberi kemaafan itu lebih indah,” ujarnya.
Terdahulu, Zhiddin juga anak kepada personaliti televisyen Allahyarham Aziz Desa mengutuk gelekan Baby Shima ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun 2022 yang didakwa keterlaluan.
Hos berusia 22 tahun itu juga pernah ‘memperlekehkan’ penggunaan tatabahasa penyanyi sensasi terbabit yang membuatkan penyanyi berkenaan membidas kutukan terhadapnya.
Bahkan Shima menjadikan isu pengguguran nama Zhahiddin dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) tahun lalu sebagai peluang mengenakan anak muda berkenaan. – HIBGLAM