‘Sebagai isteri saya bangga dengan awak’

BERSYUKUR menjadi tetamu Allah, pelakon Lana Nodin mengakui bangga melihat kesungguhan suaminya, Mohd Daud Mckenzie menyempurnakan ibadah umrah.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin, 44, berkata, pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci Mekah bersama anak-anak mereka turut menambahkan rasa hormat terhadap teman hidupnya itu.

“Alhamdulillah, saya bangga sebagai isteri, ibu dan anak untuk suami, permata hati serta orang tua saya kerana dapat menyempurnakan umrah pertama kami sekeluarga.

Terima kasih Allah kerana melancarkan ibadah serta barakah, menjemput kami datang dan memakbulkan doa saya.

“Terutama buat suami saya, sebagai isteri saya sangat berbangga dengan awak. Tiada perkataan dapat menggambarkan rasa gembira, sayang dan bangga saya terhadap awak,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Dalam video dikongsikan, Lana menangis ketika tawaf sambil memegang tangan dua anaknya.

Menerusi paparan sama, turut dikongsikan aksi Daud berada menggendong anak lelaki mereka di bahu.

Pelakon yang menceburi dunia lakonan sejak 2005 itu tidak lupa menzahirkan kesyukuran atas hidayah dikurniakan Allah kepadanya.

Menerusi ruangan komen netizen rata-rata memberikan pujian dengan menyifatkan Lana berjaya mendidik suaminya yang juga mualaf ke jalah diredhai Allah.

Dalam ramai artis yang berkahwin dengan mualaf, Lana bagus sebab dapat didik suami dan anak-anak. Alhamdulillah,” kata netizen.

“Indahnya hidayah Allah. Selalu akan rasa syahdu lihat mualaf bersungguh-sungguh beribadah,” tulis peminatnya.

Sebelum ini Lana mengakui sepanjang 10 tahun memeluk Islam Daud banyak bertanya dan belajar agama sehingga boleh mengajar anak mereka khususnya solat.

Perkahwinannya dengan pemain bola tampar asal Amerika Syarikat pada 15 Mei 2015 itu, Lana dikurniakan dua cahaya mata iaitu Gia Quinn Mckienzie, 8, dan William Daud Mckienzie, 5. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok