‘Sayang Fabian Loo tidak tercalon dalam FFM33, dia berbakat besar’

PENGARAH Tunku Mona Riza terkilan apabila pelakon Fabian Loo gagal menembusi pencalonan akhir dalam mana-mana kategori Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM) yang bakal berlangsung pada 7 Disember depan.

Menurutnya, Fabian, 34, mempunyai bakat dan potensi besar serta layak untuk menerima pengiktirafan bagi anugerah filem tempatan.

“Saya agak terkilan dia tidak tercalon dalam FFM sebab itu antara pentas anugerah berprestij untuk penggiat filem tanah air.

Sayangnya nama dia tidak dinominasi dalam FFM, dia seorang pelakon yang sangat berpotensi besar.

“Namun, kemenangan Fabian sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Rain Town pada Festival Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) adalah sesuatu yang besar untuk kariernya,” katanya kepada HibGlam selepas malam kemuncak APFF61 di Genting Highlands, semalam.

Dalam pada itu, Tunku Mona juga sutradara filem Redha turut menyifatkan Fabian merupakan antara aktor lelaki yang bakal menyinar satu hari nanti.

“Dia seorang pelakon yang mempunyai potensi besar dan saya percaya Fabian akan menjadi satu nama besar satu hari nanti.

Fabian seorang yang chill dan tidak beritahu sama ada kecewa atau tidak (tidak tercalon FFM), namun ketika dia dapat tahu Rain Town dapat sembilan nominasi, dia terus ucap tahniah.

“Masa dia bersama dengan saya untuk Rain Town, kemampuan dia memang terserlah bermula pada waktu sesi uji bakat untuk watak Isaac. Jadi, saya yakin dengan bakatnya itu,” ujarnya.

Semalam, Fabian melakar sejarah manis dalam portfolionya sebagai pelakon apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik APFF61 selain turut mengalahkan rakan senegara, Farid Kamil untuk filem Gold.

Bukan sahaja Fabian, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz turut memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik APFF61. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok