DI persada seni tanah air, nama aktor Fahrin Ahmad sentiasa disebut sebagai antara figura lelaki versatil.
Wajah tampan, aura maskulin, dan bakat yang melangkaui zaman menjadikan dia pilihan utama dalam pelbagai genre seni, dari layar kaca ke pentas pengacaraan.
Lebih dua dekad mengabdikan diri dalam dunia hiburan, Fahrin telah melakar perjalanan penuh liku dan dedikasi.
Namun, di sebalik karier yang gah dan konsisten, jejaka tinggi lampai itu masih belum menikmati pengiktirafan dalam bentuk trofi besar.
Baik di pentas Anugerah Bintang Popular (ABP) mahupun Festival Filem Malaysia (FFM), namanya sering dipinggirkan, seolah-olah tidak cukup bersinar untuk diangkat sebagai juara kendatipun dia jelas memiliki rekod kerja yang cemerlang.
Pun begitu, meski trofi masih belum menghiasi raknya, Fahrin mengakui tidak pernah berkecil hati atau merasa kurang dihargai.
Bagi pelakon berusia 45 tahun itu, tanpa trofi bukan penanda aras kejayaan sebaliknya dia menghargai peluang untuk terus berkarya dan mendapat kepercayaan daripada penerbit serta pengarah untuk kekal relevan sehingga kini.
“Secara fakta, saya pelakon yang tak pernah ada anugerah. Anugerah Bintang Popular pun tak pernah dapat. Top 5 pun selalu, tetapi untuk menang belum ada rezeki.
“Namun, saya tidak melihatnya sebagai isu. Saya lebih puas apabila selepas 22 tahun dalam industri, tawaran masih ada. Orang masih mahu melihat lakonan saya, itu sebenarnya lebih bermakna,” katanya kepada Pose.
Tambah pelakon Pilot Cafe itu, penghargaan berbentuk trofi bukan sekadar soal bakat, tetapi turut bergantung kepada elemen lain seperti naskhah, pengarahan, dan kerja pasukan yang kuat.
“Anugerah itu soal rezeki. Sebagus mana pun kita berlakon, tetap perlu ada kombinasi seperti skrip yang mantap, pengarahan yang baik, dan jalan cerita yang kuat.
“Contoh terbaik ialah Susan Lancaster, yang menang trofi pada usia 60-an. Semua tentang masa dan keadaan yang sesuai. Jika semua elemen seiring pada tahun tertentu, maka itulah rezeki kita.
“Bukan bermakna kita sebelum itu tidak bagus, tetapi mungkin belum tiba masanya,” ujarnya.
Apabila ditanya sama ada ketiadaan trofi memberi tekanan, Fahrin dengan tegas menyatakan dirinya tidak pernah berkarya demi mengejar pengiktirafan.
“Memang tidak. Saya tak pernah rasa kecewa sebab tiada trofi. Apa yang penting, saya percaya kepada rezeki dan masa yang tepat.
“Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tiada, pun tak mengapa. Bagi saya, penghargaan sebenar adalah apabila orang masih menghargai karya kita.
“Anugerah bukan segalanya. Lebih bermakna jika orang mengenang dan menghormati kita sebagai pelakon,” ujarnya penuh makna.
Paling penting kata hos Wanita Hari Ini itu, dia memilih untuk tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi kerana perkara itu hanya akan membawa kekecewaan.
Dalam perkembangan lain, selain sibuk mengacara, Fahrin turut membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang sudah pun disiarkan pada 15 Disember lalu.
Telemovie berkenaan turut dibintangi Fattah Amin, Amyra Rosli, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf. – HIBGLAM