‘Saya tak menyesal, banyak belajar daripada pengalaman’

AWALNYA, nama susuk genit itu memanas disebabkan dakwaan berkasih dengan suami orang yang kemudiannya menjadi realiti apabila disatukan dengan ikatan suci suami isteri. Namun, jodoh tidak panjang, mereka bercerai cara baik. 

Sejak itu, nama Ira Kazar mula dikenali dan pada masa sama dibenci sehingga dilabel dengan bermacam-macam panggilan seperti penyondol, orang ketiga dan pemusnah rumah tangga Syamsul Yusof dengan bekas isteri pertama, Puteri Sarah.

Ira memilih pendekatan berdiam diri sepanjang berdepan dengan sepak terajang yang mematangkan kehidupan dan langkah seninya itu kerana baginya, itu adalah jalan terbaik andai diduga Ilahi. 

Pemilik nama lengkap Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, itu terus memanaskan termometer arena hiburan apabila tempoh perkahwinan dengan Syamsul tidak bertahan lama. 

Ibaratnya, satu Malaysia seakan-akan bertepuk tangan dan ‘berkompang’ kerana menganggap kekalahan Ira-Syamsul sebagai kemenangan kepada Puteri Sarah. 

Bagaimanapun, Ira tetap melihat dari sudut positif segala apa yang berlaku dalam hidupnya sepanjang tahun 2024. 

“Tahun ini lebih kepada pengajaran dan banyak muhasabah diri dengan apa yang berlaku walaupun banyak negatif tetapi tetap ada sisi positif. 

“Meskipun rasa tidak seronok, kita tidak tahu apa yang Tuhan sediakan buat kita pada masa depan. Berkat kesabaran dan diam, banyak benda baik yang datang. 

“Diam cara saya positif dan pendekatan ini jawapan terbaik. Tak guna cakap banyak sebab kadang-kadang kita sendiri tak sedar bila (sedap) bercakap. 

“Kadangkala kita juga diuji dengan kata-kata sendiri. Jadi, saya rasa lebih baik berhati-hati dalam memberi apa-apa kenyataan,” katanya kepada Pose. 

IRA terkesan apabila bapanya, Kazar Saisi turut dipersalahkan dalam isu perkahwinannya dengan Syamsul Yusof.

Dengan segala kucar-kacir yang berlaku dalam hidup, mustahil tiada langsung penyesalan terdetik dalam hati anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi itu. 

Namun, dia hanya berserah kepada Yang Maha Esa selain bersyukur sudah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik. 

“Ada sedikit penyesalan dengan apa yang terjadi tetapi saya percaya semua ini susunan Tuhan. Mungkin Allah nak bagi rasa dahulu, baru dapat faham. 

“Dengan cara itu sebenarnya Allah nak bagi pengajaran sebab saya sendiri pun buat keputusan tanpa berfikir panjang. 

“Bukan niat saya berkahwin untuk masuk dalam industri. Saya mahu jadi isteri yang taat, dapat jaga makan suami. 

“Bab itu saya tak menyesal sebab dapat belajar masak, belajar jaga suami dan cara menguruskan berumah tangga,” ujarnya. 

Bapa tak bersalah

Meskipun berkali-kali cuba optimis dengan segala dugaan, tetap ada sesuatu perkara yang masih bersembunyi jauh di sudut hati Ira.

Tanpa ragu-ragu, dia terus berkongsi kekesalan apabila bapanya Kazar turut menjadi bahan kecaman ramai walaupun orang tuanya itu sendiri tidak bersetuju dia berkahwin dengan Syamsul.  

“Perkara paling terkesan bila ayah terlibat. Bagi saya, itu salah saya tetapi orang nampak ayah yang sokong tindakan saya sebab dia ikut ke Thailand.  

“Sebenarnya, ayah menghalang pada awalnya. Dia tak berapa setuju sebab saya rasa, mana-mana keluarga pun tak berkenan kalau kita suka suami orang. 

“Namun, akhirnya dia ikut keputusan anaknya dan hanya mampu nasihat sahaja. Bagi dia, asalkan saya bahagia,” jelasnya. 

Biarpun sudah berpisah, sejujurnya Ira masih menjalin hubungan baik dengan bekas suaminya, Syamsul. 

“Bukan ayah sahaja tetapi semua keluarga saya jenis orang yang terima dengan hati terbuka. Ada adik-beradik saya yang bercerai tetapi semua baik dengan bekas suami. 

“Keluarga saya jenis tak suka bergaduh dan bermusuh lama-lama. Bagi mereka, perkara tersebut lagi menyakitkan kepala dan boleh merosakkan hati,” jelasnya. 

Dipuji

Ira percaya, dalam pada orang membenci, pasti ada yang memilih untuk tidak menghakimi seseorang itu sesuka hati. 

“Orang benci itu standard. Memang akan ada dalam dunia yang tak suka dan suka kita. Nampaknya saya lebih dibenci ramai. 

“Namun, makin lama makin okey. Ada yang daripada benci, sekarang sayang. 

“Saya pula tak boleh halang apa orang rasa, mereka pula hanya menghakimi berdasarkan apa yang dilihat dalam media sosial,” tuturnya. 

IRA sedar kenyataan yang dikeluarkan boleh memakan diri membuatkannya memilih untuk diam sepanjang isu pahit yang berlaku dalam hidupnya.

Dalam masa sama, segala pujian yang diterima ibarat satu kejutan buat Ira yang tidak percaya persepsi manusia boleh bertukar dalam sekelip mata tanpa perlu berbuat apa-apa. 

“Saya baca orang selalu puji, saya rasa ‘over’ (melampau) pula mereka. Mungkin peranan solekan membuatkan ramai yang cakap saya macam-macam.

“Agak terkejut sebenarnya bila orang kecam selepas itu puji. Ada juga netizen yang siap minta maaf dalam mesej langsung (DM). 

“Ada yang cakap dulu dia kutuk sekarang makin suka pula. Mungkin kuasa diam saya berkesan sehingga orang sendiri mampu menilai,” jelasnya lagi. 

Sebelum menggulung bicara, Ira dengan setulus hati meminta orang ramai melupakan kejadian hitam hidupnya untuk dia terus berkarya dalam industri seni. 

“Harap 2025, semakin baik dan semua orang dapat lupakan segala kekecohan sebelum ini. Nak buat macam mana, bukan boleh patah balik dan ubah semuanya. Kita perlu pandang ke hadapan,” ujar Ira menutup perbualan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok