MARA dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Imaginur pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), aktres Diana Danielle enggan meletakkan harapan untuk menerima anugerah tersebut.
Sebaliknya, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 33, berpuas hati apabila ramai yang menghargai lakonannya walaupun tidak menerima sebarang penganugerahan.
“Saya tidak meletakkan harapan untuk menang Pelakon Wanita Terbaik kerana filem Imaginur sudah terima rezeki melimpah ruah. Penerimaan positif daripada penonton sudah cukup menggembirakan.
Jika industri memberi penghargaan, itu adalah satu bonus. Niat saya tidak pernah mengharapkan sebarang penghargaan.
“Saya percaya jika memberikan yang terbaik dalam lakonan, orang akan memberi pujian. Itu yang membuatkan saya bahagia,” katanya kepada HibGlam semasa majlis tayangan filemImaginur dan apresiasi FFM33, semalam.
Malah, Diana teruja dapat lolos ke Top 5 selain mengharapkan seorang figura lain menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik di FFM33 pada malam kemuncak kelak.
“Pesaingan sangat sengit, berada dalam Top 5 pun sudah cukup gembira tetapi kita semua tahu dalam senarai tersebut siapa yang lebih layak dijulang.
Saya tidak akan menyebut nama figura itu tetapi saya sendiri berharap dia yang bakal membawa pulang trofi berkenaan.
“Saya mahu figura itu naik atas pentas dan terima penghargaan tersebut. Saya gembira jika dia menang. Saya tahu usaha yang dia letakkan dalam lakonannya,” ujarnya.
Pada FFM33, Diana akan bersaing dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik bersama Nadia Aqilah (EVA), Susan Lankester (Rain Town), Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).
Dalam masa sama, Diana mengakui teruja dengan kecemerlangan Imaginur mendahului pencalonan tertinggi apabila tersenarai menerusi 15 daripada 24 kategori yang dipertandingkan FFM33.
Imaginur tercalon dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Filem arahan Nik Amir Mustapha itu juga mendapat pencalonan dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama iaitu Film Bizz, Pembudayaan Sinema dan Peningkatan Profesionalisme.
Malam Anugerah FFM33 bakal berlangsung pada 7 Disember ini pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur. Acara juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 (RTM). – HIBGLAM