KETUA juri Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Datuk Ramli MS atau menolak 10 markah setiap peserta yang menyanyikan lagu sendiri.
Pada konsert minggu kedua GV11 malam tadi, tujuh daripada 14 peserta yang bertanding menyanyikan lagu sendiri antaranya Ning Baizura, The Lima, Nai Dinamik, Yazid Lovehunters, Ronnie Hussein, Inka Christie dan Reshmonu.
Tok Ram berasakan alasan memotong sebanyak 10 markah dibuat atas dasar ketidakadilan buat peserta yang perlu menyanyikan lagu penyanyi lain.
Kalau ikutkan persembahan, Ning menyanyi dengan bagus malam ini (malam tadi) tetapi disebabkan dia menyanyi lagu sendiri, saya terpaksa potong markah. Peserta lain perlu buat banyak ulang kaji untuk menyanyikan lagu orang lain. Mereka perlu hafal lirik dan melodi. Kalau menyanyi lagu sendiri, mereka sudah mahir.
“Biarpun ada yang menyanyikan lagu sendiri tetapi tetap tak dapat buat persembahan dengan baik seperti Ronnie Hussein yang mendapat kedudukan dua terbawah,” katanya kepada HibGlam.
Maestro muzik itu turut menyarankan peserta tidak lagi mempersembahkan lagu sendiri kerana tindakan sebegitu akan membuatkan markah dipotong seterusnya merisikokan kedudukan dalam GV11.
“Minggu hadapan pasti ada penyingkiran. Biarpun peserta yang mendapat kedudukan Top 5 boleh menukar lagu mereka, tetapi saya sarankan agar mereka tidak berbuat demikian,” ujarnya.
Pada konsert minggu kedua, Liza Aziz sekali lagi muncul sebagai juara mingguan selepas berjaya memukau juri dengan persembahan mantapnya.
Manakala Arrora Salwa pula menjadi peserta yang mendapat markah tercorot namun terselamat kerana tiada penyingkiran. – HIBGLAM