Hilang 10 kilogram (kg) dalam tempoh singkat, pelakon Sweet Qismina menangkis dakwaan menjalani prosedur bariatrik atau potong usus bagi mendapatkan tubuh cengkung Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, juga bertegas tidak menggunakan jalan pintas untuk menurunkan berat badan, sebaliknya sekadar mengamalkan diet cecair seperti disarankan pakar nutrisi.
Masa baru kahwin berat saya cecah 53 kg dan saya perlu turunkan sebanyak 10 kilogram dalam masa sebulan untuk merealisasikan watak Maya dalam filem Babah.
“Bagi menghidupkan peranan pesakit Sindrom Guillain-Barré yang terlantar, wajah saya juga kena nampak cengkung dan misi kurus dalam tempoh diberikan pengarah agak mustahil.
“Namun saya ikut saranan pakar dengan amalkan liquid diet yang hanya minum susu. Kalau lapar sangat saya jamah epal atau makan sebiji telur. Inilah hasilnya, turun 10 kg sebab diet, bukan potong usus,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Sweet yang membawakan watak anak tunggal bernama Maya dalam filem kekeluargaan itu, Babah turut menuntut mainan emosi bukan sekadar menunjukkan perubahan fizikalnya.
Pada masa sama, dia bersyukur menerima maklum balas positif penonton sejak naskhah yang menggandingkannya bersama Qi Razali, Cristina Suzanne dan Adam Lee ditayangkan sejak 5 Disember lalu.
Alhamdulillah, filem yang menonjolkan ikatan erat antara anak perempuan dan bapanya yang OKU pendengaran cukup berbekas di hati penonton.
“Filem ini masih ditayangkan di pawagan bahkan turut menemui penonton di Singapura hari ini sebelum ke Sabah dan Sarawak.
“Kiranya pengorbanan ini berbaloi ditambah ketulusan pelakon lain serta seluruh pasukan yang menjadikan Babah dekat dihati,” katanya mengenai naskhah yang sudah mengaut RM6 juta itu. -HIBGLAM