‘Saya buat keputusan tepat tak masuk GV’

PELAKON dan penyanyi, Watie Sadali mengakui menolak pelawaan menyertai Gegar Vaganza musim ke-5 bersama kumpulan Elite kerana tidak mendapat izin daripada suaminya, Joey Daud.

Menurut Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 48, suaminya tidak mahu dia menjadi bahan umpatan jutaan netizen yang menonton.

“Memang kawan-kawan dalam kumpulan Elite cuba sedaya upaya pujuk saya terutamanya Azza. Saya tahu dia sentap dengan saya. Tetapi Joey tak izinkan saya ikut serta, takkan saya nak lawan cakap suami. Akhirnya mereka faham.

Joey beritahu saya tak perlu nak malukan diri sendiri kerana perlu sedar dengan kemampuan diri sebagai penyanyi. Dia cakap dia kenal isteri dia macam mana. Dia takut saya tak boleh berhadapan dengan kritikan serta kecaman,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Watie lagi, kalau ikutkan hati, memang keinginannya membuak-buak untuk buat kemunculan bersama Elite tetapi dia perlu bersikap rasional.

“Kesian juga dengan Elite kerana hanya tiga orang sahaja ketika itu. Tetapi bila difikirkan semula, memang betul apa yang dikatakan oleh suami saya. Berjuta orang yang akan menonton.

Saya pula seorang yang berjiwa lemah. Kalau orang cakap macam-macam boleh jadi ‘anxiety’. Nak tidur boleh terngiang-ngiang komen-komen juri.

“Saya rasa saya telah buat keputusan yang tepat dengan menolak tawaran untuk turut serta,” ujarnya.

Ujarnya lagi, selepas melihat apa yang dilalui oleh suaminya dalam program Famili Duo musim keempat membuatkan dia lebih faham tentang asam garam pertandingan nyanyian.

Saya melihat sendiri apa yang dilalui oleh Joey sepanjang pertandingan. Saya melihat kekecewaan serta kesedihan dia.

“Tapi saya sangat kagum dengan dia kerana tidak melenting ataupun membantah segala kritikan yang dilemparkan kepadanya biarpun dirinya tidak buat kesalahan seperti yang diperkatakan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok