‘Rezeki sampai sini saja’ – Inka Christie tersingkir GV11

PERJUANGAN Inka Christie di pentas Gegar Vaganza musim ke-11 terhenti apabila tersingkir pada konsert minggu keempat yang berlangsung  di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Menyanyikan lagu Warna nyanyian Datuk Sheila Majid, Inka atau nama sebenarnya Rinni Chries Hartono gagal menawan hati juri apabila menjadi peserta tercorot sekali gus gagal mara ke minggu kelima.

Meraih markah 53.40 peratus, Inka yang menjadi peserta Indonesia pertama tersingkir mengucapkan terima kasih kepada peminat

“Terima kasih kepada peminat di Malaysia dan Indonesia yang masih memberi sokongan kepada saya.

“Saya sudah cuba yang terbaik tetapi rezeki ternyata sampai sini saja. Apa-apa pun terima kasih juga kepada juri yang banyak memberi nasihat,” katanya.

Sementara itu, dua bintang senegaranya iaitu The Lima dan Dadali Dyrga masih meneruskan perjuangan untuk minggu seterusnya.

Konsert minggu keempat  menyaksikan Ronnie Hussein dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama diikuti Dadali Dyrga dan Liza Aziz.

Menerusi konsert minggu kelima yang bakal berlangsung pada 22 Disember ini, barisan peserta diberikan tema GV Hadir yang mana mereka akan berduet dengan bintang undangan.

GV11 dihoskan pengacara sensasi Nabil Ahmad dan Jihan Muse manakala barisan juri pula Datuk Eamli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Yusof Haslam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok