Rebah di set penggambaran, Zhao Lusi didakwa depresi, sakit saraf

REBAH di set penggambaran pada 18 Disember lalu, aktres China, Zhao Lusi dilihat dalam keadaan lemah duduk di kerusi roda ketika dibawa ke hospital.

Menerusi video yang tular dalam laman sosial, keadaan pelakon drama Hidden Love itu dikatakan sangat membimbangkan selain kakinya turut menggeletar.

Mengenakan topi dan pelitup muka, rata-rata peminat menzahirkan kebimbangan melihat situasi terkini selebriti berusia 26 tahun itu.

Biarpun wakil pengurusannya tidak mengeluarkan kenyataan, sumber mendakwa pelakon dan penyanyi muda itu diserang penyakit berkaitan saraf.

Spekulasi tersebut bertebaran selepas ada saksi mendakwa Zhao Lusi mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi selain tidak mampu berdiri.

Hanya selepas 10 hari kemudian wakil pengurusannya tampil memaklumkan selebriti muda itu kini dalam proses pemulihan.

Ini kerana kelompok peminat tegar mendesak pihak terbabit memberikan kenyataan atau berkongsi tahap kesihatannya selepas tiada apa-apa khabar sepanjang dimasukkan ke hospital.

Apatah lagi khabar bertebaran mendakwa Zhao Lusi juga berdepan masalah deprasi dan keletihan sebelum berlaku insiden terbabit.

Marah apabila pihak pengurusan seolah-olah cuba menyembunyikan kebenaran, pengikutnya melancarkan gerakan ‘Truth for Zhao Lusi’ yang trending.

Sementara itu, rakan Zhao Lusi juga pelakon Weixiao berkongsi perkembangan terkini dengan memaklumkan aktres terbabit sudah boleh berbual dan dalam proses pemulihan.

Menerusi perkongsiannya, Weixiao meminta pihak berkaitan menjalankan tanggungjawab berkongsi keadaan rakannya itu bagi mengelakkan timbul sebarang spekulasi tidak sahih.

Sehingga kini peminat masih berterusan membanjiri laman sosial Zhao Lusi dengan meninggalkan pelbagai ucapan agar dia terus bersemangat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok