‘Ramai penyanyi baharu hidung tinggi, mudah lupa diri’

SIAPA tidak kenal penyanyi bersuara lantang dengan aura tersendiri yang mencipta nama sejak era 1990-an itu.

Kekuatan Ziana atau nama sebenar Siti Roziana Zain tidak hanya terletak pada bakat luar biasa, malah disokong sikap profesionalisme dan disiplin tinggi yang terus menjadi inspirasi kepada ramai artis muda.

Kini, diberi amanah sebagai juri tetap program realiti One In A Million (OIAM), Ziana tampil bukan sekadar mengadili malah berkongsi pengalaman dan ilmu membimbing pendatang baharu memahami nilai sebenar anak seni.

Bakat sahaja tidak cukup untuk kekal lama dalam industri. Disiplin dan cara membawa diri mainkan peranan penting.

“Hubungan baik dengan semua pihak, termasuk peminat, media dan syarikat rakaman juga sangat utama,” katanya kepada Pose.

Menurut penyanyi berusia 56 tahun itu, penglibatannya sebagai juri bermatlamat mencorakkan bakat baharu bukan hanya menjadi penyanyi terbaik, tetapi turut memahami cara menjaga imej agar kekal relevan dalam industri penuh cabaran ini.

“Kami diberi peluang menjadi juri bukan hanya untuk menilai suara dan bakat peserta, tetapi juga untuk mendidik mereka menjadi penyanyi yang bagus.

Macam mana mereka membawa diri dan membina hubungan baik dengan semua pihak. Ini semua aspek yang tidak boleh diabaikan jika mahu relevan.

“Saya sendiri, sewaktu mula menyanyi, belajar daripada penggiat seni terdahulu tentang pentingnya disiplin dan menghormati orang lain. Nilai ini perlu disemai supaya mereka bukan sahaja disukai peminat, tetapi dihormati dalam industri,” tegasnya.

TAMPIL dengan karya berkualiti, bijak menjaga hubungan dan saling menghormati antara rahsia mengapa Ziana dan artis seangkatannya mampu bertahan dalam industri hingga ke hari ini.

Pelantun lagu Madah Berhelah itu bagaimanapun meluahkan kebimbangan terhadap sikap segelintir bakat baharu yang mudah lupa diri selepas dikenali.

Ramai penyanyi baharu sekarang yang sudah lupa diri walaupun baru popular. Ada yang hidung tinggi, enggan belajar dan terlalu yakin dengan kejayaan kecil.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Dalam industri, kepercayaan dan hubungan baik adalah asas untuk bertahan lama.

Saya pernah bekerja dengan penyanyi baharu yang malangnya terlalu cepat berubah. Baru popular sekejap, sikap sudah mendahului bakat.

“Saya dan Yusry juga masih belajar daripada bakat muda. Kami generasi lama terbuka untuk menerima pandangan baru, jadi pelapis muda juga perlu bijak mengambil pengalaman daripada orang lama,” luahnya.

Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, generasinya bertuah kerana dibimbing dengan nilai-nilai positif sejak awal kerjaya.

“Orang sering bertanya, bagaimana kami generasi 1990-an mampu bertahan hingga hari ini? Apa yang boleh saya katakan, kami dididik dengan lagu-lagu berkualiti dan sikap menghormati semua pihak.

Kami menjaga imej, disiplin dan hubungan dengan semua pihak termasuk peminat, media serta syarikat rakaman.

“Tidak rugi artis menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling kerana itu yang akan menentukan perjalanan kerjaya mereka,” ujarnya menutup bicara.

Selain Ziana, Datuk Yusry Abdul Halim dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan juga merupakan juri tetap dalam program realiti dikendalikan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy yang bakal memulakan tayangan pada 22 Disember nanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok