Penyanyi rap dakwa pegawai PBT rakam video di pusat urut

PENYANYI rap Zamaera mendakwa pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) merakam videonya secara rahsia ketika mendapatkan khidmat urut di sebuah premis di Selangor.

Zamaera atau nama lengkapnya Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, 29, berkata, pegawai berkenaan memasuki ruangnya berurut dan bertindak merakam badannya yang hayat dibalut tuala.

“Semasa sedang mendapatkan urutan, sudah semestinya saya tidak berpakaian melainkan hanya mengenakan pakaian dalam.

Selepas 15 minit, saya terdengar lelaki buat bising. Apabila saya keluar, saya dapati 10 hingga 15 pegawai PBT sedang merakam kejadian dalam premis itu.

“Pada awalnya, saya ingin selesaikan secara baik dan meminta mereka padam video tetapi tiada seorang pun mengaku ada merakam video sekali gus membuatkan saya marah,” katanya dalam aplikasi X.

Dalam masa sama pelantun lagu Big Fish itu turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dijalankan pegawai yang terlibat.

“Kalau betul ini SOP, mana pegawai wanita yang boleh mengendalikan kes berkenaan.

Sebagai pegawai, awak masuk premis mengurut pasti buat pengumuman keberadaan kalian tetapi dia nak soal siasat saya kerana melemparkan fitnah mengambil video saya.

“Bahagian mana ketika menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika?,” soalnya.

Difahamkan, selepas kejadian itu Zamaera sudah membuat laporan polis dan berjumpa dengan pihak atasan PBT pada pagi tadi.

Selain itu, anak jati Selangor itu turut meluahkan rasa kurang selamat meski berada di negara sendiri.

Sebagai wanita, saya rasa tak selamat dan mahu rasa dilindungi dalam komuniti sendiri.

“Macam mana perkara tersebut berlaku kepada isteri atau anak perempuan kalian?,” tuturnya lagi.

Justeru itu, Zamaera mahukan penjelasan dan permohonan maaf daripada pegawai terlibat dan berharap orang ramai lebih berhati-hati selepas ini.

Saya cuma nak kenyataan daripada pihak PBT yang menjelaskan salah laku mereka dan mahu pegawai terbabit memohon maaf kepada saya atas kesalahan menggunakan kuasa.

“Perkara tersebut akan membuatkan orang ramai lebih percaya dengan pegawai dan harap kejadian sama tak berulang.

Saya juga mahu pihak PBT senaraikan SOP berkaitan kes ini supaya orang ramai lebih sedar sekiranya terjerat dalam situasi sama.

“Semoga kalian tidak berhadapan kejadian seperti saya,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok