Penting jaga keselamatan di set penggambaran – Hariz Hamdan

FILEM Sahak Gangster menjadi karya layar perak pertama aktor Hariz Hamdan membawakan watak utama dalam naskhah aksi komedi. Awalnya disangkakan mudah, namun telahan itu nyata meleset kerana Hariz mengakui agak tertekan saat menjayakan filem arahan Ahmad Idham itu.

Katanya, sebagai seorang yang tidak pandai berjenaka, sukar untuknya mempamerkan elemen komedi atau tampil dengan lelucon mencuit hati.

Pada saya memang beban yang sangat berat, tetapi saya bersyukur dapat bergandingan dengan pelakon hebat dan berpengalaman melakonkan babak komedi. Mereka semua sangat bijak buat lawak dan membantu saya untuk lebih santai dan bertenang.

“Watak Sahak yang saya bawakan ini bercita-cita untuk menjadi gangster, tetapi disebabkan beberapa perkara impiannya itu berubah. Jadi sepanjang proses perubahan itu, Sahak berdepan dengan pelbagai cabaran yang lucu,” kataya seraya tertawa.

Bakal ditayangkan pada 9 Januari tahun depan, Hariz akui karya komedi secara tidak langsung memberikan pilihan kepada penonton untuk memilih naskhah yang lebih santai bersahaja.

Filem komedi ini diibaratkan warna dalam industri perfileman. Mungkin sekarang ada banyak filem tentang aksi, seram dan drama. Jadi tidak mengapa kalau kita paparkan filem komedi agar penonton dapat membuat pilihan.

“Setiap genre itu mempunyai peminatnya tersendiri. Pada saya agak bersesuaian juga ditayangkan sempena pembukaan tahun baharu bagi naskhah yang santai,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.

PERTAMA kali muncul dalam filem aksi komedi, Hariz mengharapkan agar naskhah arahan Ahmad Idham bertajuk Sahak Gangster itu mendapat sambutan baik peminat. – AMIR KHALID

Keselamatan

Selain mengakui bukan seorang yang pandai berjenaka, Hariz turut menyifatkan babak aksi dalam filem tersebut menjadi satu cabaran baharu buatnya. Biarpun mahir dalam seni mempertahankan diri kick boxing, namun Hariz tetap mengutamakan keselamatan saat berada di set penggambaran.

Bimbang sebarang kemungkinan boleh berlaku, Hariz sentiasa berhati-hati agar setiap tindakan yang dibuat tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri dan pelakon lain. Namun, malang tidak berbau apabila berlaku kemalangan kecil sewaktu menjayakan babak pertarungan dengan pelawak Mamak Puteh.

Kita memang sudah memastikan semuanya dalam keadaan bersedia. Tetapi, ada perkara yang kita tidak dapat elak iaitu apabila saya dan Mamak Puteh melakukan babak aksi dan kami saling tertumbuk antara satu sama lain.

“Syukur tiada kecederaan serius, hanya hal biasa yang berlaku. Kadangkala kita sudah berjaga-jaga, tetapi kemalangan kecil saja. Apa-apa pun itu semua proses pembelajaran yang membantu saya untuk lebih memahami tentang lakonan,” katanya optimis.

Sebagai persediaan buat pelakon, pihak produksi turut menyediakan kelas latihan lakonan dan kelas aksi sebagai persediaan filem Sahak Gangster.

Dengan bantuan kelas itu juga membuatkan Hariz yakin untuk menjayakan babak aksi sekali gus melakonkan watak Sahak yang mempunyai sisi lucu.

Dalam pada itu, Hariz turut berkongsikan pengalaman melakonkan babak menaiki jet ski bersama gandingannya Nelissa Nizam yang membawakan watak sebagai Suriani.

“Sewaktu kami menjayakan babak menaiki jet ski di pantai, waktu itu hanya ada saya dan Nelissa kerana babak itu diambil menggunakan kamera dron.

“Kalau kami tidak berhati-hati, pelbagai perkara boleh berlaku sebab berada di tengah laut itu, sekiranya kemalangan berlaku perlu mengambil masa beberapa minit untuk bantuan tiba. Jadi sebab itu menjaga keselamatan sangat penting ketika berada di set penggambaran,” terangnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok