Pedih tapi tiada dendam di hati Baim Wong

BAIM Wong, satu nama yang sudah kukuh dalam radar seni Indonesia dan Malaysia.

Kerjayanya memuncak selepas membintangi deretan drama popular. Hari ini, dia bukan sahaja selebriti tetapi juga ahli perniagaan, pencipta kandungan dan terbaharu, pengarah filem.

Tatkala namanya memuncak di Indonesia dengan kemelut rumah tangga yang masih belum bertitik noktah, Baim mengalih perhatian peminat di Malaysia menerusi naskhah pertama arahannya, Lembayung.

Memilih genre seram yang pada asalnya bukan minat utama, pemilik nama penuh Muhammad Ibrahim itu tidak pernah terbayang bergelar pengarah filem seram.

Sebenarnya tidak pernah terfikir untuk mengarahkan filem seram sebab penampakannya selalu aneh-aneh dan saya tak percaya dengan elemen mistik.

“Namun, filem ini diadaptasi daripada kisah sebenar dan penampakan elemen seram masih dalam bentuk manusia, jadi saya okey,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

BAIM memuji komitmen lakonan Anna Jobling (tengah) dalam filem Lembayung. 

Meski tidak meminati genre seram, aktor berusia 43 tahun itu yakin untuk mengarahkan Lembayung kerana percaya akan mendapat sambutan daripada para pencinta filem.

“Pertamanya, filem seram mempunyai kelompok peminat sendiri dan pasti akan dapat sambutan.

Kemudian, hari ini terlalu banyak filem seram dihasilkan. Ada filem yang mudah diteka jalan ceritanya namun untuk Lembayung, saya hasilkan dengan cara berbeza.

“Dalam Lembayung, saya gabungkan tiga elemen iaitu drama, thriller dan seram. Sangat sulit untuk gabungkan tiga elemen tersebut untuk menjadi sebuah naskhah,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia amat berpuas hati dengan setiap hasil kerja dan komitmen pelakon yang terdiri daripada Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasmen serta aktres kelahiran Malaysia, Anna Jobling.

Paling membuatkannya kagum dengan bakat dimiliki Anna ialah ketika melakonkan beberapa babak yang dianggap sukar tetapi disempurnakan aktres itu sekali sahaja.

BAIM yakin Lembayung dapat memenuhi selera pencinta filem seram di Indonesia dan Malaysia.

“Setakat ini ramai memberi respons positif dan reaksi penonton di Indonesia serta Malaysia juga sama. Para pelakon filem ini juga sudah memberikan terbaik lebih-lebih lagi Anna.

Ramai ‘underestimate’ (pandang rendah) dengan kemampuan dia, jadi filem ini membuktikan kemampuannya sebagai seorang aktres. Itu juga hasil latihan dengan guru lakonan di sana.

“Dia pelakon baharu tetapi ada potensi yang sangat besar. Komitmen yang diberikan untuk Lembayung sangat hebat dan di luar jangkaan saya,” katanya yang tidak mengenali dan bertemu dengan Anna sebelum sesi uji bakat.

Rumah tangga

Tidak terlepas daripada dilayangkan pertanyaan tentang kemelut rumah tangganya dengan Paula Verhoeven ketika ini, Baim mengaku mengelak membaca komen negatif tentangnya dalam media sosial.

BAIM dan isteri, Paula masih mempunyai hubungan baik walaupun dalam proses perceraian.

Katanya, perkara itu dilakukan demi menjaga kesihatan mental selain memberitahu dirinya juga seorang yang sangat sensitif.

Ada yang perlu dibaca dan tidak. Saya orang yang sensitif, kadang-kadang kalau terbaca, saya terfikir-fikir. Jadi, lebih baik tidak baca.

“Tetapi saya tidak pernah salahkan orang dan jangan sesekali berdendam dengan individu yang melemparkan kata-kata negatif kerana energi itu akan berbalik kepada kita,” tuturnya.

Memfailkan permohonan cerai ke atas Paula di Pengadilan Agama Jakarta Selatan pada 7 Oktober lalu, Baim berkata, proses tersebut masih berlangsung selain memohon doa yang baik-baik buat keluarganya termasuk isterinya.

Kekuatan datang daripada diri sendiri, jangan benci sesiapa pun dan kalau sudah jujur, tidak perlu takut.

“Berdamai dengan diri sendiri, itu sahaja,” katanya menutup perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok