Norman Hakim kecewa bagasi rosak teruk

Remuk hati pelakon Norman Hakim apabila bagasi miliknya mengalami kerosakan sebaik sahaja pulang dari Korea Selatan.

Pada awalnya, Norman atau nama lengkapnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 48, hampir tidak dapat mengawal kemarahan melihat keadaan beg, namun cuba untuk bertenang.

Selamat mendarat, alhamdulillah. Beg sahaja yang tak berapa nak selamat, daripada jumlah keseluruhan lapan beg, tiga tumpas, dua cedera ringan dan satu cedera parah. Plastik yang lindung bag yang cedera ringan pun hilang.

“Masa pertama kali tengok kondisi beg terutama yang cedera parah ini, faham-faham sahajalah darah lelaki. 30 saat saya istighfar dan kawal nafas untuk menangkan akal berbanding emosi.

“Rakan sekerja kata ini normal untuk penerbangan antarabangsa,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam pada itu, pelakon filem Pasrah itu berpendapat pekerja yang mengendalikan beg miliknya mempunyai masalah emosi.

Saya fikir mungkin orang menjaga beg ini ada masalah peribadi, jadi dia lepas amarah pada bagasi ini. Kalau saya yang hempas belum tentu pecah.

“Yang dah banyak duit kat luar sana mungkin tak ada hal, beg jahanam boleh beli lain. Kita ini bekerja bersengkang mata pagi petang siang malam sayang sangat barang-barang, tak kisahlah beg ke, kasut ke dan yang sewaktu dengannya.

“Paling tak sampai hati bila bayangkan muka pengasas penerbangan ini yang seboleh mungkin nak beri yang terbaik untuk syarikat tetapi barisan bawahan tak dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP). Saya faham sebab kita sama-sama berniaga,” ujarnya.

Norman turut mengajak orang ramai berkongsi pendapat cara menangani masalah sama daripada berulang pada masa akan datang.

“Ikut statistik semasa, sepanjang 2024, 45 juta orang terbang dari seluruh dunia menggunakan penerbangan ini. Agak-agak berapa peratus yang mungkin berdepan dengan kemusnahan yang sama?

Kepada yang mungkin pernah berdepan dengan insiden ini atau untuk mencegah daripada insiden ini terus berlaku, apa yang boleh kita bantu supaya mana-mana syarikat penerbangan dapat bagi satu solusi untuk mereka dapat tangani perkara ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Norman makan angin bersama keluarganya di Korea Selatan sempena cuti sekolah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok