KEJAYAAN meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) melonjakkan harapan aktres Elizabeth Tan untuk memegang watak utama dalam filem pada masa akan datang.
Menurut Elizabeth, 31, tawaran memegang peranan utama adalah impiannya sejak menjejakkan dunia lakonan namun mengakui faktor perbezaan bangsa antara penghalang besar dirinya memegang watak sebegitu ketika ini.
“Apa lagi saya nak? Pastinya tawaran lakonan sebagai pelakon utama wanita dalam mana-mana filem.
“Saya sedar mungkin agak sukar untuk mendapatnya sebab berbangsa Cina dan berada dalam industri filem Melayu, tetapi siapa tahu rezeki itu akan hadir?” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Gembira dengan anugerah yang diraihnya, pelantun lagu Police Entry itu bersyukur kerja kerasnya menerusi watak antagonis dalam filem Sheriff: Narko Integriti diiktiraf di FFM33.
Dalam masa sama, dia akan terus hadir ke kelas lakonan bagi memperbaiki kelemahan diri sebagai seorang pelakon.
“Ketika lihat nama tercalon sebagai finalis pun saya rasa seperti sudah menang. Memang tak sangka trofi ini menjadi milik saya.
“Saya masih ada kekurangan dan akan masuk kelas lakonan untuk terus belajar sekali gus memantapkan kualiti diri.
“Saya bukan jenis individu yang anggap diri sendiri sudah hebat selepas memenangi trofi,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi kategori sama, Elizabeth menewaskan empat lagi finalis iaitu Nadiya Nisaa (Imaginur), Pauline Tan (Rain Town), Remob Lim (Victims) dan Angeline Tan (Duan Nago Bogho). – HIBGLAM