Musim harum Azira Shafinaz, dirisik produksi Seberang

DIA tidak lagi berangan kosong apatah bermimpi di siang hari. Berjaya menggondol gelaran terbaik di peringkat antarabangsa pastinya menjadi impian setiap anak seni tanah air.

Manisnya, kejayaan tersebut berjaya digapai Azira Shafinaz pada Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) yang berlangsung di Genting Highlands baru-baru ini.

Membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik APFF61 menerusi filem Indera, kejayaan pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan itu membuka mata ramai bahawa tidak semestinya kemenangan hanya boleh diraih pada peringkat tempatan sahaja.

Sepertinya, ini bukan kejayaan pertama Azira sebaliknya dia pernah menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik (Watak Komedi) pada majlis Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) menerusi drama terbitan Viu berjudul Ijab Kabut.

Tidak malu mengaku berbangga dengan kejayaan sendiri, aktres berusia 33 tahun itu berasakan segala penat lelahnya sejak 10 tahun lalu sungguh berbaloi.

“Kemenangan ini membuktikan saya tidak main-main, sebaliknya serius menceburi bidang lakonan.

Siapa yang tidak teringin untuk menang trofi dalam negara tetapi mungkin rezeki saya di peringkat Asia Pasifik.

“Saya tak mahu cakap hasil kerja tidak dihargai juri tempatan sebaliknya sentiasa percaya bahawa rezeki di tanah air sendiri belum tiba,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

SEPULUH tahun mencanai bakat, lakonan Azeera semakin mendapat perhatian ramai malah diintai penerbit dan pengarah Seberang.

Berkongsi keterujaan kemenangan tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui terkejut apatah lagi filem Indera masih belum ditayangkan kepada umum.

Kelainan karakter sebagai wanita hamil yang banyak bermain ekspresi dan emosi juga dirasakan memberi markah buat kemenangannya.

“Mungkin juri nampak kekuatan lakonan saya sebagai Nisa dalam filem tersebut sehingga layak dapat trofi ini.

Watak dalam Indera sangat berbeza daripada kebanyakan yang pernah dilakukan sebelum ini. Memang mencabar dan berat.

“Saya sebenarnya tidak menjangka langsung tersenarai sebagai finalis untuk kategori ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, ahli kumpulan De Fam itu sangat terharu dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Saya sangat bangga, rendah diri dan terharu sebab sepanjang 10 tahun jadi pelakon, sudah dua kali Asia Pasifik nampak bakat saya.

“Di situ, saya percaya rezeki memang ada di situ. Alhamdulillah,” jelasnya.

Mahu melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi, Azira mengakui hatinya teringin untuk menembusi pasaran negara jiran.

Mula dirisik pihak produksi di sana, namun Azira memberitahu semuanya masih lagi dalam perancangan. – HIBGLAM

Dirisik Indonesia

Untuk masa akan datang, saya harap ada banyak peluang. Jika bukan di Malaysia, harap dapat kembangkan bakat di luar negara.

“Sebenarnya saya teringin sangat nak masuk pasaran di Indonesia.

“Ada tawaran yang hadir tetapi kalau semuanya berjalan mengikut seperti dirancang, baru saya boleh umumkan,” tuturnya.

Mengakui selektif, bintang drama One Cent Thief itu berkata, perkara tersebut sudah dipraktikkannya sejak awal pembabitannya dalam bidang seni lagi.

“Kalau nak cakap selektif, saya memang sudah lakukan sebelum ini dan pilih karya yang sesuai dengan karakter sendiri.

Satu benda saya selalu pegang adalah kalau buat sesuatu benda, saya akan lakukan sehabis baik. Tak suka buat sambil lewa

“Saya tiada sasaran untuk jenis watak atau karya tetapi kalau diberi peluang, nak sesuatu yang di luar kotak serta mencabar kemampuan diri,” katanya lagi.

Selain Azira, seorang lagi pelakon Malaysia yang turut mengharumkan nama negara pada acara APFF61 adalah Fabian Loo yang mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.

Pada acara itu, filem fenomena Thailand, How To Make Millions Before Grandma Dies diumumkan sebagai Filem Terbaik.

Filem dari Thailand tersebut turut menggondol trofi Aktor Terbaik menerusi lakonan mantap Putthipong Assaratanakul dan kategori Lakon Layar Terbaik.

Turut cemerlang adalah The Last Dance yang memenangi kategori trofi utama iaitu Pengarah Terbaik yang diraih Anselm Chan Mou Yin dan Aktres Terbaik (Michelle Wai).

Legenda Hong Kong

Sementara itu, pelakon legenda Hong Kong yang sering melakonkan watak aksi, Sammo Hung pula dipilih sebagai penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Sammo sebelum ini popular menerusi filem Painted Faces (1988) dan Wheels On Meals (1984).

Turut diberi penghormatan adalah pelakon, pengarah dan penerbit filem terkemuka Hong Kong, Raymond Wong Pak Ming yang menerima Anugerah Pembikin Filem Cemerlang.

Penganjuran APFF tahun ini disertai pencalonan daripada 20 negara.

Kembali menjadi tuan rumah, Malaysia sebelum ini pernah menjadi persinggahan APFF sebanyak lima kali dan kali terakhir pada 2005.

Mempertaruhkan 21 kategori, sebanyak 40 hingga 50 filem dipertandingkan dalam anugerah berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok