Muntah, berat susut 12kg, Illa Sabry kena sihir

GARA-GARA terkena ilmu hitam badan penyanyi Illa Sabry pernah turun mendadak sehingga 12 kilogram (kg).

Mengimbas kejadian yang berlaku pada 2012, Illa atau nama sebenarnya, Fasillah Sabry, 45, berasakan dirinya hampir mati apabila lebih sebulan tidak dapat menjamah makanan.

“Ketika itu saya menjalanankan perniagaan pengiklanan, tiba-tiba saya sakit teruk dan muntah-muntah.

Setiap makanan yang saya jamah pasti muntah kembali, sampai rasa nak mati. Berat badan pun turun sampai 12 kg,” ujar Illa

Jelas Illa, pada mulanya dia menjangkakan menghidap penyakit batu karang tetapi selepas menjalani pemeriksaan dengan enam doktor, keadaan kesihatannya baik-baik sahaja.

“Saya memang fikir positif ingat sakit batu karang tetapi doktor kata batu karang saya terlalu kecil untuk saya sakit teruk sebegini.

Akhirnya saya buat keputusan balik ke rumah ibu bapa, andai habis nyawa di sana pun saya reda.

“Bapa cuba berubat sendiri dan saya minum air penawar. Selepas kali kedua minum air itu saya muntahkan semua, saya sendiri tidak tahu apa yang keluar. Alhamdulillah, sejak itu saya sihat dan tidak sakit lagi,” kongsi Illa.

Selain itu, dia yang pernah mengusahakan kedai makan turut mengalami kejadian mistik seolah-olah premis perniagaannya itu ditutup.

Pada 2011, orang tak nampak kedai makan saya, jadi sekejap buka sekejap tutup. Sampai sekarang tidak tahu siapa yang buat dan sekarang saya banyak amalkan doa pelindung diri setiap kali keluar rumah,” terangnya.

Meskipun mengalami pelbagai pengalaman perit, perkara itu tidak menghalang Illa untuk terus menceburi dunia perniagaan.

Kini, selain menyanyi Illa juga aktif berniaga makanan di bawah jenama Cik Gebu.

Dalam pada itu, Illa yang tersingkir pada minggu keenam konsert Gegar Vaganza menyerahkan pada takdir berkenaan perjalanan seninya.

“Saya kembali dalam industri kerana mahu melepaskan rasa rindu. Selepas ini lihatlah bagaimana, andai ada rezeki saya akan teruskan kerjaya nyanyian. Jika tidak saya akan fokus kepada perniagaan,” tuturnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok