SIAPA sahaja tidak mengenali nama anggota kumpulan K-Clique, Noki yang sudah tidak asing lagi dalam arena muzik hip-hop tempatan.
Kariernya kini sedang mekar dengan pelbagai lagu hit dan aktif dalam dunia lakonan yang terus melonjakkan nama, membuktikan kemampuan versatilnya sebagai pemain industri.
Pun begitu, sudah menjadi lumrah hidup sesiapa sahaja yang belum berumah tangga, selagi masih berstatus bujang, selagi itulah akan terus dihujani persoalan berkaitan jodoh.
Itu situasi yang sering didepani Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji sehingga hari ini apabila masih solo meskipun boleh dikatakan sudah lebih daripada ‘mampu’ mendirikan ‘masjid’.
Masih bujang ketika anggota kumpulan K-Clique lain sudah mendirikan rumah tangga jejaka berusia 30 tahun itu tidak menafikan dirinya seorang yang selektif dalam memilih pasangan hidup.
Bagi pemuda asal Kota Kinabalu itu, keputusan untuk berkahwin memerlukan kesediaan dan pilihan tepat kerana melibatkan komitmen sepanjang hayat.
“Mungkin saya ini terlalu memilih, tapi kenalah cerewet sebab ini soal peneman hidup sampai ke akhir hayat.
“Kalau Allah dah tetapkan jodoh, maka jadilah cuma saya enggan tergesa-gesa. Kalau ada yang sesuai dan boleh puaskan hati ibu saya, itu lebih baik,” katanya kepada Pose.
Dalam soal mencari pasangan, pelantun Payung Pelangi itu juga mengakui lebih tertarik kepada wanita yang tidak mudah dimiliki, selain sukar untuk didampingi.
“Saya perasan ramai wanita sekarang lebih berani mendekati lelaki, mungkin kerana zaman sudah berubah. Tapi, saya secara peribadi kurang tertarik dengan wanita seperti itu.
“Kita lelaki lebih suka sesuatu yang susah untuk diperoleh. Ada kepuasan bila kita perlu berusaha lebih untuk memikat hati seseorang. Tapi setakat ini, belum ada lagi yang buat saya rasa nak letak effort macam tu,” ujarnya.
Tambah pelakon filem War On Terror: KL Anarchy itu lagi, fokusnya ketika ini lebih terarah kepada kerjaya seni, terutama bidang lakonan.
Menurutnya, walaupun ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga, dia tidak mahu terburu-buru semata-mata sekadar memenuhi desakan usia.
“Keinginan untuk kahwin memang ada, perasaan itu semakin kuat bila lihat rakan-rakan macam MK dan Tuju sudah berkahwin, malah ada anak.
“Dahulu, saya pernah letak sasaran nak kahwin pada usia 25 tahun, sebab ikut sunnah Nabi. Tapi, bila dah melangkah ke usia 30, rasa macam lima tahun itu berlalu terlalu cepat.
“Kalau ada, saya anggap itu bonus,” tuturnya.
Sebelum ini Noki pernah dikaitkan intim dengan pelakon Ezzany Jasny, namun mereka menegaskan hanya berkawan.
Dalam perkembangan lain, lelaki tinggi lampai itu sedang mencari material terbaik untuk lagu terbaharunya selain dalam persediaan membintangi lebih banyak naskhah pada tahun hadapan.