‘Mungkin bertahan sehingga usia 50 atau 60 tahun’

13 NOVEMBER menjadi tanggal penuh bersejarah buat ‘lentera’ kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila segala kecintaan dan perjuangannya terbayar dengan sebuah anugerah bernama Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.

Istimewanya, pengiktirafan tersebut bukan undi populariti atau penilaian juri pertandingan, sebaliknya pemilihan badan khas kerajaan yang didedikasikan buat individu paling layak zaman ini dan Siti Nurhaliza Tarudin adalah pilihan direstui seluruh rakyat.

Manisnya, penganugerahan tersebut berlangsung tanpa ada selintas pun bayangan persoalan daripada mana-mana pihak.

Untuk anak Kuala Lipis itu sendiri, beliau langsung tidak pernah terdetik menerima gelaran Biduanita Negara.

PENGIKTIRAFAN Siti Nurhaliza sebagai Biaduanita Negara mendapat restu rakyat Malaysia. 

Benar perjalanan yang dilewati sudah cukup panjang, namun semuanya hanya bertunjangkan iltizam dan kecintaan terhadap anugerah bakat yang terasah oleh pengalaman.

Pertamanya, saya tidak pernah terfikir untuk dapat anugerah tertinggi ini. Selama hampir 30 tahun, saya bekerja dengan ikhlas kerana Allah. Selebihnya, saya serahkan kepada-Nya memberi rezeki.

“Ketika Rozi (pengurus) maklumkan soal anugerah, saya sedang sibuk menjayakan promosi konsert John Legend. Dia beri sekeping dokumen dan minta saya baca.

Saya sangka usikan dan gurauan. Jadi, saya cakap kepada Rozi jangan buat lawak atau tipu saya. Sebelum ini pula, soal biduanita pernah menjadi isu perdebatan.

“Apabila perkara itu sudah senyap, saya sangat lega. Kalau boleh, saya tidak mahu perkara itu diperkatakan lagi tetapi, rupa-rupanya betul saya dapat anugerah ini,” katanya kepada HibGlam.

Meskipun meraih kejayaan besar dalam hidup, Siti ibarat peribahasa ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Beliau masih tidak melupakan nama-nama penting di belakang tabir yang mendorong dan membentuk dirinya sehingga menjadi sehebat ini.

Kejayaan saya ini banyak orang ingin saya beri dedikasi. Selain keluarga dan arwah abah, saya dedikasi anugerah ini kepada Allahyarham Adnan dan Allahyarham Pak Ngah.

“Mereka ini insan yang terawal kesan bakat dan menjaga saya. Bayangkan kalau masih hidup, pasti mereka gembira dan bangga,” ujarnya.

SITI dedikasikan anugerah Biduanita Negara buat keluarga, arwah bapanya serta pemuzik  Allahyarham Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Pak Ngah yang mencungkil bakatnya.

Allahyarham Tarudin Ismail juga figura paling penting dalam hidup pelantun lagu Magis itu kerana berjaya membentuk dan mendorong dirinya sehingga mampu berdiri di peringkat tertinggi.

“Arwah abah terutamanya adalah orang yang paling banyak bersusah payah untuk saya. Setiap kali menang anugerah, abahlah yang paling gembira.

Kalau arwah masih ada, tentunya beliau paling seronok. Abah sudah berada di tempat terbaik.

“Saya harap dengan kerja-kerja amal yang saya lakukan, kebaikan tersebut sampai kepada abah,” jelasnya.

Menggalas gelaran Biduanita Negara merupakan tugas yang berat, Siti menjadikan amanah tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti kepada industri seni tanah air.

“Walaupun orang nampak kejayaan demi kejayaan, semua itu datang bersama cabaran dan dugaan.

Saya bersyukur kerana masih ada pihak yang melihat perjuangan dan menganggap saya layak menerima anugerah ini.

“Kepada mereka yang menghargai usaha saya, terima kasih. Saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam industri seni ini selagi saya mampu menyanyi,” tuturnya dengan senyuman.

Bertahan

Dalam masa sama, ibu kepada dua orang cahaya mata itu tidak menolak ketentuan takdir selain hanya mahu melakukan yang terbaik dalam kariernya.

Saya sedar usia semakin meningkat. Kadang-kadang kita tak tahu berapa lama lagi boleh bertahan dalam industri, mungkin hingga usia 50 atau 60 tahun. Selagi saya mampu, saya akan buat yang terbaik.

“Pada masa yang sama, saya juga ada perancangan untuk memberi lebih perhatian kepada kehidupan peribadi, namun hanya Allah yang tahu bila masanya akan tiba,” katanya.

BAGI membalas jasa bapanya, Allahyarham Taruddin Ismail, Siti tidak berhenti melakukan kerja amal dan berharap kebaikan tersebut menjadi bekalan arwah di alam sana.

Pada masa sama, Siti sempat menyelitkan nasihat buat anak muda yang masuk ke dalam industri untuk tidak mengejar gelaran, sebaliknya hanya ikhlas dalam pekerjaan.

“Sesiapa pun yang bekerja keras pasti dapat apa yang dicita-citakan. Usaha tidak akan mengkhianati hasil tetapi janganlah terlalu tumpukan kepada pengiktirafan.

Apa sahaja kerja yang kita lakukan kena ikhlas kerana Allah, berikan yang terbaik terhadap bidang yang kita cinta, suka dan sayang. Itu perkara utama perlu ada dalam kepala.

“Jangan dikejarkan sangat anugerah. Kalau kita bekerja keras dan ikhlas, anugerah akan datang sendiri,” pesannya.

Tidak terhenti dengan sebuah anugerah, Siti turut tampil dengan single baharu berjudul Sejarah, sebuah single tentang dirinya.

“Lagu ini dicipta khas untuk saya dan liriknya juga menggambarkan perjalanan saya sebagai anak seni.

Saya berterima kasih kepada Erwin Gutawa kerana sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi.

“Dendangan ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok