Masuk Hong Kong, Sandra Lim kini bintang aksi

PERTEMUAN empat mata bersama si jelitawan yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas Miss Universe 2024 yang berlangsung di Mexico baru-baru ini benar-benar membuatkan penulis terpana dengan kecantikannya.

Kulitnya putih mulus, tubuhnya tinggi lampai, tutur katanya tertib bersulam kebijaksaan akal.

Tiada keraguan lagi kenapa Sandra Lim atau pemilik nama lengkap Sandra Lim Shue Hui, 24, itu terpilih menjadi antara Top 30 dalam pertandingan ratu cantik nombor satu dunia itu, sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun Malaysia untuk melepasi tahap tersebut. Dia sudah punya pakej yang lengkap untuk meraih mahkota Miss Universe cuma rezeki tidak berpihak kepadanya.

Itu satu pencapaian membanggakan negara apabila nama Malaysia berkumandang di bumi Mexico, berdiri sama tinggi dengan 29 lagi finalis lain dari seluruh dunia.

Sebelum acara utama bermula lagi, nama Sandra sudah mula menjadi bualan peminat ratu cantik di seluruh dunia dan disebut-sebut bakal mencipta sejarah buat Malaysia.

SANDRA bersedia berkongsi pengalaman dan ilmu yang ditimba di pentas Miss Universe dengan pelapis dan bakal ratu cantik negara pada masa akan datang.

Bercerita tentang pengalaman berkampung selama tiga minggu di Mexico, wanita kelahiran Selangor mengakui terkejut dengan sambutan yang diberikan masyarakat di sana sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi asing itu.

“Saya masih ingat saya tiba di Mexico pada pukul 8 pagi selepas mengharungi 31 jam perjalanan dalam kapal terbang. Saya agak risau, bimbang akan berdepan keletihan. Namun penat lelah saya hilang selepas melihat sambutan yang diberikan rakyat Mexico. Sewaktu saya tiba di sana, ada perarakan yang dianjurkan. Saya melihat mereka menjerit memanggil nama Malaysia! Malaysia! Malaysia! Sungguh mengharukan melihat mereka menerima kedatangan saya dengan hati terbuka,” katanya kepada HibGlam.

Selama 53 tahun Malaysia mencari formula tepat untuk ‘dipandang’ di pentas Miss Universe, akhirnya formula tersebut ditemukan Sandra.

Ditanya apakah rahsia kejayaannya, kata Sandra, pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik lain serta semangat juang yang tinggi menjadi kunci kejayaannya.

“Bila saya melangkah ke pertandingan Miss Universe dengan mengetahui bahawa Malaysia sudah 53 tahun tidak terpilih, dalam fikiran saya pasti ada sebab kenapa Malaysia dilanda kemarau selama itu. Menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil Malaysia untuk tahu apakah sebab itu.Saya sentiasa beritahu diri, saya mahu sentiasa memberikan tenaga positif kepada orang lain. Ini bukan sahaja tentang rupa paras, bentuk tubuh atau cara anda berpakaian. Bukan perkara itu sahaja diambil kira, semua peserta lain pun cantik-belaka.

“Untuk kekalkan momentum selama tiga minggu pertandingan bukan sesuatu yang mudah. Banyak masa dan tenaga dikorbankan termasuklah waktu tidur. Setiap peserta akan sibuk dengan aktiviti yang telah ditetapkan seperti sesi fotografi, melawat kawasan dan sebagainya. Di sinilah kesabaran anda akan diuji. Saya juga sentiasa ingatkan diri untuk menghargai setiap orang dan petugas sepanjang acara,” kongsinya.

Memikirkan semua itu, Sandra menyusun strategi agar kelihatan lebih menyerlah di atas pentas dengan membuat gaya pusingan pinggang unik sewaktu sesi pakaian renang sehingga menjadi tular di seluruh dunia.

“Saya perlu lakukan sesuatu agar dunia membuka mata tentang Malaysia. Kemudian saya terfikir kenapa tidak saya lakukan gaya yang unik sewaktu sesi pakaian renang. Saya pernah lakukannya dahulu dalam pertandingan ratu cantik yang lain. Akhirnya saya tekad lakukan gaya itu dan tidak sangka video persembahan pakaian renang saya menjadi tular,” jelasnya.

Kata Sandra lagi, biarpun perjalanannya di pentas Miss Universe terhenti pada peringkat Top 30, dia bersyukur kerana sangat disayangi ramai terutamanya peserta lain dan kru yang terlibat.

“Apabila saya tidak berjaya melangkah ke peringkat Top 12, ramai rakan serta kru yang datang kepada saya dan beritahu mereka bangga dengan saya. Bagi mereka saya adalah Miss Universe. Perkara itu sudah cukup menggembirakan dan buat saya terharu,” kongsinya.

MENGIKUT jejak ratu-ratu cantik dunia, Sandra Lim kini teruja menunggu filem aksi ala James Bond pertama lakonannya menemui penonton.

Bintang filem

Seperti kebanyakan pemenang ratu cantik lain yang mengembangkan karier sebagai pelakon, Sandra juga mempunyai impian sama.

Menjadikan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai idola, Sandra mahu mengikut jejak langkah pemenang Anugerah Akademi itu satu hari nanti.

“Saya sangat cintakan bidang lakonan. Sebelum ini pun saya sudah mula berlakon. Tetapi filem lakonan saya hanya akan ditayangkan pada tahun hadapan.

“Saya sangat teruja kerana dalam filem tersebut saya berlakon dengan pelakon popular dari Hong Kong. Saya menonton lakonan beliau sejak kecil, kini saya dapat berlakon dengannya. Saya bagaikan tidak percaya sewaktu berlakon dengannya. Adakah ini benar-benar sedang berlaku.

“Saya harap permulaan ini dapat membuka ruang yang lebih luas untuk saya kembangkan bakat lakonan ke peringkat antarabangsa seperti mana Michelle Yeoh berjaya sehingga menerima pengiktirafan dalam Oscars.

Ditanya watak bagaimana yang diidamkannya, bekas atlet seni mempertahankan diri wushu itu mengidamkan watak aksi pengintip seperti dalam filem James Bond.

“Sebenarnya saya telah pun berpeluang melakonkan watak aksi dalam filem akan datang. Dalam filem tersebut saya dapat pamerkan bakat seni mempertahankan diri.  Saya sangat teruja kerana filem tersebut merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama,” katanya yang berharap dapat bergandingan dengan Michelle Yeoh satu hari nanti.

Bakti

Selepas berjaya mengukir kejayaan di pentas Miss Universe, ramai peminat mahukan Sandra menurunkan ilmunya dalam dunia ratu cantik kepada pelapis baharu agar mampu meneruskan legasi.

Sandra sendiri sentiasa terbuka memberi tunjuk ajar serta berkongsi pengalamannya kepada bakal-bakal ratu cantik di luar sana.

“Sudah tentu saya berminat untuk berkongsi ilmu dengan mereka yang memerlukan. Saya sendiri seorang yang sangat suka mengajar. Saya suka bila seseorang dapat belajar sesuatu yang baru.

“Perjalanan mempelajari sesuatu itu sangat penting dan berharga. Jika saya dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut, itu sungguh bermakna,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok